KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang antara lain memperuntukkan kesalahan dan hukuman berkaitan pemalsuan digital (deepfake) serta penyebaran imej intim digital yang dimanipulasi melalui sistem komputer kompleks.
RUU yang mengandungi 61 fasal berkaitan jenayah siber itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan 48 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RUU berkenaan tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa atau mengatasi mana-mana perundangan lain termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, sebaliknya tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang serta prosedur perundangan yang ketat bagi melindungi hak asasi dan privasi rakyat.
Beliau berkata, kuasa mengakses sistem dan data komputer juga tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya, tetapi perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang.
“Notis pemeliharaan data komputer hanya boleh dikeluarkan sekiranya pegawai penyiasat berpuas hati bahawa data itu munasabah dan diperlukan bagi tujuan penyiasatan serta terdapat risiko data berkenaan dipadam, diubah atau dimusnahkan jika tindakan segera tidak diambil.
“Mengenai penzahiran data komputer, kerajaan ingin menegaskan bahawa ia hanya boleh dilaksanakan melalui notis bertulis kepada pihak mempunyai milikkan atau kawalan ke atas data tersebut dan tertakluk kepada keperluan penyiasatan yang sah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul RUU itu. – Bernama



