Illinois: Pakar gusti kelahiran Chechnya, Khamzat Chimaev muncul juara baharu pertarungan UFC kategori middleweight selepas menundukkan bekas juara, Dricus du Plessis, pada aksi UFC 319, awal pagi tadi.
Chimaev jelas mendominasi gelanggang apabila menggunakan kepakarannya dalam aksi bergusti untuk mengekang setiap gerakan lawan sebelum meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri.
Seawal minit pertama pusingan pertama, Chimaev memulakan serangan dengan melakukan takedown dan memerangkap lawannya di posisi crucifix, sekali gus melepaskan beberapa tumbukan walaupun tidak banyak memberikan kecederaan serius.
Rentak sama berterusan pada pusingan kedua apabila Chimaev sekali lagi menjatuhkan Du Plessis ke lantai dan menguasai belakang badan lawan untuk mengasak dengan serangan lutut dan percubaan kunci choke.
Keletihan mula jelas menghantui Du Plessis pada pusingan ketiga dan keempat apabila dia gagal melepaskan diri daripada tekanan Chimaev yang terus mendominasi posisi.
Usaha Du Plessis cuba bangkit pada pusingan terakhir ternyata sudah terlambat apabila Chimaev dinobatkan pemenang selepas ketiga-tiga juri sebulat suara memberikan kemenangan kepadanya dengan skor 50-44.
“Saya tidak ada perancangan khusus, saya hanya lakukan apa yang biasa saya buat di gimnasium. Lawan saya ini kuat, saya gagal menamatkan pertarungan, tetapi saya hormati dia. Dia satu-satunya juara yang berani menyebut nama saya. Dia benar-benar ada hati, seorang singa Afrika sejati,” kata Chimaev selepas menerima tali pinggang kejuaraan.
Sementara itu, Du Plessis menerima kekalahan dengan penuh berlapang dada selain berjanji untuk kembali merebut semula gelaran itu.
“Dia memang layak, dia kalahkan saya dengan adil malam ini. Dia lebih baik daripada saya dan saya akan kembali untuk ambil semula tali pinggang ini. Buat masa sekarang, ia milik dia dan dia perlu menikmatinya,” kata Du Plessis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




