am@hmetro.com.my
Jerantut: Seorang remaja perempuan terbunuh dan lima cedera akibat kemalangan membabitkan lori sarat muatan sawit dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Jerantut – Lipis dekat Kampung Besul, di sini, hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu jam 11:44 pagi.
Menurutnya, maklumat awal diperoleh ketika kejadian lori sawit itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Jerantut bertembung dengan SUV dinaiki lima sekeluarga dari arah bertentangan.
“Kemalangan itu menyebabkan seorang gadis berusia 14 tahun, penumpang SUV terbabit terbunuh, manakala pemandu dan tiga penumpang lain termasuk dua kanak-kanak perempuan tercedera.
“Akibat kemalangan itu, lori sawit terbabit terbabas ke kanan jalan dan menyebabkan pemandunya turut tercedera,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan.
Katanya, mayat gadis terbunuh akibat kemalangan itu turut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Identiti mangsa sedang disahkan dan punca kemalangan sedang disiasat polis,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd