am@hmetro.com.my
Dungun: “Sudah lapan tahun saya tidak turun ke Sungai Delong ini kerana teringatkan arwah anak, Che Wan Haziq Haikal yang lemas dalam kejadian 1 Julai 2017.
“Hari ini, Allah bukakan hati saya untuk turun ke sungai ini untuk memberi sokongan kepada keluarga Nik Zariff Maliqi Qausar Nik Sulaiman, 12,” kata Che Wan Othman Che Wan Sulong, 59.
Menurutnya, kejadian lemas terbaru membabitkan Nik Zariff Maliqi Qausar yang juga anak kenalannya adalah yang kedua selepas tragedi mengorbankan anaknya itu.
“Anak saya lemas dalam kejadian berlaku jam 6.45 petang di tempat yang sama dengan Nik Zariff.
“Dia akhirnya ditemui tiga hari kemudian selepas mayatnya timbul kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan lemas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, selama tiga hari dua malam dia dan isterinya, Anita Abdul Rani, 49, berkampung di tepi sungai menanti penemuan anaknya itu oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Saya dan isteri tidak tidur, tidak makan menanti anak timbul dan akhirnya Allah makbulkan doa saya selepas mayat anak ditemui.
“Sejak dari itu sudah lapan tahun saya dan isteri tidak turun ke sungai itu. Mana tak sedih, kami sekeluarga baru menyambut hari lahirnya sebelum dia ke sungai dan lemas.
“Kalau saya turun ke sungai itu, saya pasti akan teringat kepada arwah anak dan sudah tentu saya akan sedih dan menangis,” katanya yang bertugas sebagai Pengawal Keselamatan di Sekolah Kebangsaan Delong.
Che Wan Othman berkata, selepas mendapat berita Nik Zariff lemas dihanyutkan arus, dia dan isterinya terbuka hati untuk turun memberi sokongan kepada kedua ibu bapa Nik Zariff.
“Bila tragedi sebegini berlaku, hanya ibu dan bapa sahaja yang merasai betapa sedihnya kehilangan anak namun apa boleh buat itu semua ujian Allah.
“Saya kenal ibu Nik Zariff, Yusliza Jusoh, 45, bukan saja kerana dia pengusaha kantin di sekolah saya bertugas, malah sudah lama kerana berasal dari kampung ini.
“Saya juga kenal Nik Zariff, dia seorang anak yang baik, sentiasa menyapa, hormat guru dan orang tua malah sentiasa senyum setiap kali bertemu saya di sekolah,” katanya.
Katanya, dia berdoa dan berharap supaya Nik Zariff ditemui segera dan moga keluarga tabah menghadapi dugaan itu.
Dalam kejadian sabtu, Nik Zariff dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama empat lagi rakannya di sungai itu, kira-kira jam 5.45 petang.
Sehingga jam 8 pagi ini, usaha mencari dan menyelamat Nik Zariff masih belum berhasil.
© New Straits Times Press (M) Bhd




