65 pendaki dirawat kerana hipotermia, seorang meninggal dunia

65 pendaki dirawat kerana hipotermia, seorang meninggal dunia

Gowa, Indonesia: Sekurang-kurangnya 65 pendaki dirawat kerana hipotermia selepas mengambil bahagian dalam upacara menaikkan bendera sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-80 di Gunung Bawakaraeng, destinasi pendakian popular di Gowa, Sulawesi Selatan, lapor Jakarta Globe.

Seorang daripada mangsa, lelaki berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Irfan meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun dan sudah dikebumikan di kampung halamannya di Bone.

Pegawai penyelamat berkata, jumlah pendaki yang mengalami hipotermia meningkat kepada 65 orang pada Isnin berbanding 52 orang sehari sebelumnya. Semua mangsa sudah dipindahkan ke kaki gunung di Lembanna, daerah Tinggimoncong.

“Secara keseluruhan, 65 mangsa dikendalikan oleh pasukan tindak balas kecemasan Merah-Putih,” kata ketua operasi Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Makasar, Andi Sultan.

Pihak berkuasa berkata, proses pemindahan amat sukar kerana denai licin akibat hujan lebat. Di sebalik cabaran itu, pasukan penyelamat berjaya membawa semua pendaki yang terjejas turun dengan selamat.

Data Basarnas menunjukkan seramai 4,176 orang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan di Gunung Bawakaraeng yang disokong oleh 87 organisasi dan 326 anggota ditugaskan antara 15 dan 18 Ogos.

Irfan, satu-satunya mangsa yang maut dilaporkan mengalami hipotermia teruk selepas upacara di puncak. Katanya, mangsa tidak dapat diselamatkan ketika dalam perjalanan turun walaupun usaha menyelamat sudah diberikan.

Gunung Bawakaraeng dengan ketinggian 2,830 meter dari aras laut adalah lokasi tradisional untuk upacara Hari Kemerdekaan yang menarik ribuan pendaki setiap tahun.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berulang kali memberi amaran mengenai risiko yang disebabkan oleh cuaca ekstrem dan persiapan yang tidak mencukupi dalam kalangan peserta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top