am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kerajaan negeri menegaskan tidak akan sesekali membenarkan syarikat swasta mengambil alih Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebagai operator bekalan air di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi SADA berkata, perkara itu tidak mungkin berlaku kerana SADA ditubuhkan khusus di bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) serta terikat dengan syarat pelesenan dan klausa kontrak.
“Adalah mustahil perkara ini berlaku selagi saya dan rakan-rakan berada di sini. SADA tidak boleh sewenang-wenangnya diserahkan kepada pihak lain.
“SADA adalah pengendali air berlesen di bawah Seksyen 9 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, maka sebarang cubaan pengambilalihan adalah tidak realistik,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) berhubung laporan yang mendakwa Ranhill Utilities Bhd mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pembangunan utiliti dan infrastruktur.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, SADA kekal sebagai pengendali utama di bawah peruntukan ketat, termasuk Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Pelesenan) 2007 serta Perlembagaan SADA.
Bagaimanapun, katanya, sebagai pengendali air tunggang di Kedah, SADA sentiasa terbuka untuk meneroka inisiatif strategik dengan syarikat lain bagi menangani cabaran bekalan tanpa mengubah struktur pemilikan.
Dalam pada itu, mengulas isu kenaikan tarif air, Muhammad Sanusi menjelaskan Kedah bukan satu-satunya negeri yang berdepan perkara itu kerana kuasa eksekutif berkaitan bekalan air bersih terletak di bawah Kerajaan Persekutuan.
Katanya, semua lesen dan rancangan perniagaan pengendali air negeri dikawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang juga mempunyai kuasa untuk mengambil alih sekiranya pendapatan tidak mencukupi menampung pembayaran hutang.
“Kuasa eksekutif bagi bekalan air bersih terletak di bawah Kerajaan Persekutuan, bukan negeri. Di bawah SPAN, semua lesen pengendali dan rancangan perniagaan dikawal selia oleh mereka.
“Jika SPAN mendapati hasil tidak dapat menampung pembayaran hutang, mereka mempunyai kuasa untuk mengambil alih. Jadi apabila semua pengendali air negeri memohon pelarasan tarif, semuanya telah diluluskan. Perkara ini berlaku di seluruh negara, bukan hanya di Kedah,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kedudukan kewangan SADA perlu mencatat keuntungan mencukupi bagi melunaskan hutang dan pada masa sama membiayai kerja menaik taraf infrastruktur.
“Kita mesti merekodkan keuntungan untuk membayar hutang. Infrastruktur sedang dinaik taraf dan kita juga mahu memastikan negeri kekal stabil dari segi kewangan,” katanya ketika menjawab soalan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) yang mempersoalkan keperluan kenaikan tarif sedangkan SADA dijangka mencatat keuntungan sekitar RM80 juta tahun ini.
Sementara itu, beliau memaklumkan beberapa syarikat lain juga berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi tujuan sama selepas SADA kembali mencatat keuntungan sejak pihaknya menerajui Kedah.
“Saya faham perangai orang berniaga dia akan cari di mana ada untung, saya tak boleh salahkan mereka. Sama masa SADA tengah tenat, pernah rugi RM36 juta pada 2019 dan berhutang RM158 juta.
“Masa itu tak ada siapa nak, tengok pun tak mahu tapi bila kita mula memulihkan SADA bermula 2020 masa kita masuk jadi kerajaan baru ramai yang menunjukkan minat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
