mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Ramai mangsa buli memilih mengunci mulut kerana takut, malu dan hilang keyakinan terhadap sistem sokongan sekali gus menjadikan pembuli terus bermaharajalela.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, ketakutan terhadap risiko mendatang menjadi faktor utama mangsa enggan membuat laporan.
“Ramai bimbang pembuli akan bertindak lebih agresif, selain takut dipulaukan rakan, hilang kawan atau dipandang lemah.
“Malah, di sekolah atau tempat kerja mereka risau prestasi dan peluang kerjaya terjejas jika pembuli lebih berpengaruh,” katanya mengulas gejala buli yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, perasaan malu dan stigma masyarakat menambah beban mangsa.
“Mereka sering menyalahkan diri sendiri, berasa lemah dan bimbang dianggap tidak mampu melawan. Ada juga mangsa hilang kepercayaan selepas laporan tidak diambil tindakan sewajarnya.
“Malah, trauma berpanjangan menyebabkan mereka keliru hingga sukar membuat keputusan untuk bercakap,” katanya.
Fauziah turut menasihatkan mangsa supaya tidak berdiam diri selain menggalakkan mereka mendapatkan sokongan melalui kaunseling, kumpulan sokongan atau program kesejahteraan mental untuk memulihkan keyakinan.
“Rahsia hanya memberi lebih kuasa kepada pembuli, sebaliknya luahkan kepada individu dipercayai seperti ibu bapa, guru atau kaunselor.
“Penting mangsa merekod kejadian termasuk masa, tempat, bentuk buli dan saksi kerana bukti ini dapat membantu siasatan.
“Mangsa juga perlu kawal emosi dan elakkan tindak balas agresif yang boleh memburukkan keadaan. Fokus utama adalah keselamatan diri,” katanya.
Beliau berkata, isu buli bukan sahaja masalah sekolah, malah ia masalah komuniti yang memerlukan pencegahan melalui kempen ibu bapa, ceramah kesedaran dan pemantauan berterusan bagi membanteras gejala ini.
“Rakan dan keluarga perlu peka terhadap tanda seperti perubahan emosi, prestasi merosot atau suka mengasingkan diri.
“Jangan sesekali menyalahkan mangsa, sebaliknya jadi pendengar empati dan beri keyakinan.
“Sekolah pula disaran mempunyai dasar anti-buli yang jelas, prosedur operasi standard (SOP) aduan, perlindungan mangsa serta hukuman adil terhadap pembuli selain modul kesedaran emosi dan latihan empati juga penting,” katanya.
Katanya, Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu menyediakan saluran aduan mesra pengguna, perlindungan undang-undang dan sokongan psikologi berterusan bagi melindungi mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




