am@hmetro.com.my
Gua Musang: Seorang lelaki bertindak memecut kenderaan dan cuba merempuh anggota polis ketika sekatan jalan raya di Kilometer 42 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 3, di sini.
Selepas berlaku kejar mengejar sehingga anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan namun tidak mengenai sasaran, akhirnya lelaki tersebut berjaya ditahan.
Pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek dan kenderaan yang dipandu berjaya menemukan dadah disyaki jenis syabu seberat anggaran 1.47 gram dan 33 pil disyaki dadah jenis pil Yaba.
Ketua Polis Daerah Superintendan Sik Choon Foo, berkata, jam 6.22 petang Unit Kereta Peronda (MPV) Cegah Jenayah terima panggilan daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang berkenaan kejadian kejar mengejar berlaku membabitkan kenderaan jenis Proton Preve.
Katanya, sebelum kejadian anggota polis terbabit cuba menyekat kenderaan yang dipandu seorang lelaki di lokasi kejadian.
“Sekatan dijalankan dengan meletakkan kenderaan MPV di tengah jalan, manakala kedua-dua anggota polis bersiap siaga dalam posisi masing-masing.
“Kereta yang dipandu suspek sampai ke lokasi dalam keadaan memecut laju dan berbahaya. Anggota polis cuba menahan namun kenderaan yang dipandu suspek tidak berhenti dan cuba melanggar mereka.
“Atas faktor terancam pada diri, satu das tembakan dilepaskan pada bahagian tayar belakang sebelah kanan namun tidak mengenai sasaran,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek berjaya melepaskan diri dari sekatan yang dijalankan dan berlaku kejadian kejar mengejar sehingga suspek akhirnya berjaya ditangkap.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (2) ADB 1952. Kes masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd