United lupa cara bermain, perlu lebih matang – Amorim

United lupa cara bermain, perlu lebih matang – Amorim

Manchester: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim percaya pasukannya perlu menunjukkan lebih kematangan selepas sekadar seri 1-1 menentang Fulham, awal pagi tadi, sekali gus masih belum mencatat kemenangan musim ini.

The Red Devils dihukum kerana gagal memanfaatkan penguasaan penuh pada separuh masa pertama, di mana Bruno Fernandes mensia-siakan sepakan penalti apabila sepakannya melambung tinggi.

Namun, apa yang lebih merisaukan Amorim adalah prestasi selepas United mendahului hasil jaringan sendiri Rodrigo Muniz pada minit ke-60.

Fulham bangkit menyamakan kedudukan menerusi Emile Smith Rowe 17 minit sebelum tamat perlawanan dan mengakhiri aksi dengan lebih dominan.

“Saya rasa kami menjaringkan gol dan kemudian kami lupa cara permainan kami,” kata Amorim, yang hanya menang tujuh daripada 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai pengurus.

“Kami terlalu mahukan kemenangan, dan itu satu perkara yang baik, apabila kami menjaringkan gol semua pemain di padang berfikir, ‘Mari bertahan dengan kelebihan ini dan cuba menang’.

“Tetapi bagi saya, itu adalah saat di mana kami sepatutnya lebih teruja dan menekan lawan.

“Kami perlu lebih matang sebagai satu pasukan. Apa yang paling penting bagi saya ialah sepanjang minggu mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh, hari ini juga kami bekerja keras, dan kami akan terus bertambah baik. Detik yang mengubah permainan ialah gol kami sendiri,” katanya lagi.

Amorim berkata kegagalan Fernandes menyempurnakan penalti pada minit ke-38 menjejaskan prestasi kapten United itu sepanjang perlawanan.

“Anda kena lupakan perkara itu ketika permainan sedang berlangsung.

“Dia ketua pasukan kami dan memikul banyak tanggungjawab. Saya rasa selepas dia terlepas penalti, dia terus memikirkan tentang itu sepanjang perlawanan. Kami perlu bergerak ke hadapan dan bermain seperti biasa,” kata Amorim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top