Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik segala keterbatasan di kampung terpencil yang jauh daripada kemudahan asas termasuk capaian internet, seorang anak muda dari pedalaman Sabah kini melangkah ke pentas antarabangsa mewakili suara hampir dua juta pelajar dunia.
Aikal Danish Juman, 19, pelajar Tahun Dua International Baccalaureate (IB) Pra-Australia di Kolej MARA Banting (KMB), mencipta sejarah baru-baru ini apabila terpilih sebagai antara 12 pelajar dari seluruh dunia menyertai Youth Advisory Council (YAC) 2025-2026 anjuran International Baccalaureate Organisation (IBO).
Anak kelahiran Kampung Indah, Nabawan itu dipilih daripada lebih 1,400 pemohonan dari 92 negara, menjadikannya satu-satunya wakil dari Malaysia dalam majlis penasihat pelajar, yang memberi input terus kepada barisan kepimpinan tertinggi IBO.
Sebagai ahli YAC, Aikal Danish akan mewakili suara pelajar IB dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan dasar pendidikan dan keperluan pelajar pelbagai latar belakang, termasuk di IB Global Conference 2025 yang dijadual berlangsung di The Hague, Belanda dari 22 hingga 25 Oktober depan.
“Membesar di kawasan memerlukan sekurang-kurangnya sejam perjalanan untuk ke bandar, saya sedar jurang atau perbezaan ekonomi dan akses pendidikan dihadapi pelajar luar bandar.
“Di Nabawan, peluang pelajar sangat tipis dan terhad. Ini menyebabkan ramai pelajar berpotensi tinggi seperti saya, perlu bekerja berkali-kali lebih keras hanya untuk dapatkan peluang yang sering diberi dengan mudah kepada pelajar di kota besar,” katanya.
Didorong pengalaman yang dilaluinya, Aikal Danish merasakan sudah tiba masanya melakukan perubahan, justeru beliau memilih untuk menyuarakan isu sebenar yang dihadapinya saban hari ketika melalui proses pemilihan YAC, yang memerlukan penulisan tiga esei dan penyediaan dua video berkaitan isu-isu global.
“Proses pemilihan IB YAC sangat ketat dan rigorous, tetapi saya pastikan jawapan saya sentiasa jujur. Saya tidak terlalu risau tentang ‘apa yang mereka ingin dengar’, sebaliknya mahu lebih menekankan kepada isu-isu sebenar yang saya lihat setiap hari, sama ada di Nabawan, Sabah mahupun di Kolej MARA Banting,” katanya.
Mengakui masih terkejut dengan pemilihannya, anak bongsu daripada tiga beradik itu percaya kejayaan ini satu peluang besar untuk bekerjasama secara langsung dengan Ketua Pengarah IB, Olli-Pekka Heinonen serta pasukan eksekutif dalam membincangkan hala tuju dasar dan pembangunan kurikulum IB.
Beliau turut berhasrat memastikan semua pelajar berpotensi tinggi, tanpa mengira lokasi, mendapat akses dan peluang yang adil untuk berjaya.
Pada masa sama, Aikal Danish komited untuk melaksanakan projek berimpak kepada pelajar termasuk merancang memperkenalkan program IB di kawasan asalnya, Nabawan agar lebih ramai pelajar luar bandar mendapat akses kepada peluang pendidikan bertaraf dunia.
“Saya bertuah kerana mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kolej yang banyak membantu mempersiapkan saya untuk peranan dalam IB YAC. Ia membentuk kepemimpinan dan komunikasi saya, yang kini saya gunakan untuk berkhidmat dengan baik dan menjadi suara kepada hampir dua juta pelajar IB,” katanya.
Beliau turut mendedikasikan kejayaan dan kepemimpinan yang dikecapinya kepada kedua-dua ibu bapanya yang menjadi sumber inspirasi utama, serta rakan baiknya, Jacqueline Atat, yang banyak memberi dorongan dan kekuatan sepanjang perjalanan akademiknya.
Bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang Neurosains dan menjadi seorang pakar neurologi, Aikal Danish juga berterima kasih kepada bekas Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik Kolej MARA Banting Rosmaria Abdullah, yang banyak membantu dalam proses pemohonan YAC.
Sementara itu, Pengarah Kolej MARA Banting Mini Zanita Zakaria menyifatkan pemilihan Aikal Danish sebagai pencapaian bersejarah kerana ini adalah kali pertama YAC diwujudkan oleh IBO dan beliau terpilih daripada ribuan pemohon antarabangsa.
“Kami sentiasa menyokong penyertaan pelajar dalam platform kepimpinan seperti MPP dan program Creativity, Activity and Service (CAS), antara komponen teras IB, bagi melahirkan pemimpin global sejajar dengan slogan kami, Nurturing Leaders for a Better World,” katanya.
Katanya, walaupun pelajar KMB pernah menyertai program antarabangsa seperti Model United Nations (MUN), Australian Economics Olympiad dan Math Beyond Limits Balkans, pemilihan Aikal Danish dalam YAC adalah yang pertama seumpamanya dan sangat membanggakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd