am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa hasil siasatan berhubung insiden pijak kepala membabitkan kejadian tangkapan seorang lelaki di Kulim, Kedah baru-baru ini akan didedah kepada umum sebaik siasatan selesai.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini dua siasatan membabitkan aspek jenayah dan tatatertib sedang dijalankan secara serentak terhadap anggota polis terbabit.
Katanya, siasatan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan salah laku.
“Siasatan jenayah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama manakala satu lagi siasatan tatatertib dijalankan bagi menilai sebarang pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota terbabit.
“Sebenarnya SOP tangkapan sudah pun ada, bukan tak ada. Dalam konteks kes insiden di Kulim itu, tindakan kita dah ambil dan siasatan dibuat.
“Bagi ruang untuk kita siapkan siasatan dan kita akan maklumkan hasil serta tindakan lanjut,” katanya ketika diminta mengulas sama ada PDRM akan memperkemaskan lagi SOP tangkapan di lapangan.
Terdahulu, Ayob Khan merasmikan Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang di Hotel St Giles, di sini, tadi.
Mengulas lanjut, Ayob Khan menjelaskan bahawa SOP sememangnya membenarkan penggunaan kekerasan minima dan munasabah khususnya apabila berdepan suspek yang melawan atau mengancam keselamatan.
“Memang ada SOP yang sudah ditetapkan dan kita boleh menggunakan kekerasan minima.
“Namun terdapat situasi tertentu menjadi ‘grey line’ dalam menentukan tahap kekerasan yang sesuai, bergantung kepada reaksi suspek ketika kejadian,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa hasil siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung insiden anggota polis didakwa menggunakan kekerasan ketika insiden itu.
Pengerusinya, L Francis Xavier berkata, ketelusan berhubung dapatan siasatan itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis terus terpelihara, selain menjamin akauntabiliti terhadap sebarang salah laku.
Manakala media pada Selasa lalu turut melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menasihati orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular itu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman yang tersebar di media sosial hanya memaparkan detik singkat tanpa menggambarkan keseluruhan situasi ketika kejadian berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd




