Bicara pengesahan lafaz rujuk Datuk Red, Adira ditangguhkan 25 Jun

Bicara pengesahan lafaz rujuk Datuk Red, Adira ditangguhkan 25 Jun

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Rawang: Perbicaraan pengesahan lafaz rujuk yang difailkan usahawan, Datuk Red, 48, terhadap bekas isteri, Adira Suhaimi, 35, pada Disember tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang di sini, hari ini ditangguhkan kepada 25 Jun depan.

Difahamkan perbicaraan secara tertutup yang akan berlangsung kira-kira dua bulan lagi itu akan membabitkan keterangan daripada Adira selaku defenden berikutan pihak Red sebagai plaintif sudah memberi kenyataan penuh pada hari ini.

Terdahulu, perbicaraan pengesahan lafaz rujuk difailkan Red terhadap Adira itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang, hari ini di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani.

Peguam syarie mewakili Red iaitu Nor Haiza Mareena Mat Ramli ditemui berkata perbicaraan untuk anak guamnya iaitu Red selaku plaintif dalam kes lafaz rujuk itu sudah selesai memberi keterangan penuh pada hari ini.

“Jadi pada tarikh 25 Jun akan datang, pihak defendan (Adira) pula akan memberikan keterangan dalam perbicaraan termasuk membawa seorang saksi iaitu abangnya.

“Bagaimanapun dalam keterangan anak guam saya pada perbicaraan hari ini, beliau tidak membawa sebarang saksi. Tetapi, semua sudah selasai bagi pihaknya sebagai plaintif,” katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, sebutan pertama kes pengesahan lafaz rujuk itu diperdengarkan kepada Hakim Syarie pada 20 Januari lalu, namun ditangguhkan kepada 16 Februari lalu kerana defendan (Adira) tidak hadir ke mahkamah.

Pada tarikh berkenaaan (20 Januari), Adira yang diwakili peguam syarie iaitu Nor Saidah Zakaria perlu memasukkan pembelaan bagi menjawab tuntutan dibuat oleh plaintif (Red).

Selain Nor Haiza Mareena, seorang lagi peguam syarie mewakili Red iaitu Muhammad Akmal Amzan.

Dimaklumkan juga pernah berlaku lafaz rujuk antara Red atau nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu terhadap Adira pada Mei 2024 lalu ketika penyanyi itu masih dalam iddah.

Red dan Adira berkahwin pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand, sebagai isteri kedua, namun mereka sah bercerai talak satu pada 24 April 2024.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, Asan, 8, Anggun, 7, dan Ayob, 5, yang kini dalam penjagaan penuh Adira.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top