Kiraan dua marhalah bermula dari rumah atau sempadan mukim?

Kiraan dua marhalah bermula dari rumah atau sempadan mukim?

MASIH terdapat segelintir umat Islam yang keliru berkaitan solat jamak dan qasar terutama perihal berkaitan perjalanan dua marhalah.

Antara persoalan yang timbul adalah tentang permulaan kiraan jarak musafir dua marhalah atau kira-kira 82 kilometer.

Apakah ia dikira dari rumah seseorang atau bermula hanya selepas melintasi sempadan kawasan mukim?

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed tampil menjelaskan perkara itu dengan merujuk pandangan fuqaha Mazhab Syafie dan nas ulama muktabar, menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

DR SYED SHAHRIDZAN

DR SYED SHAHRIDZAN

Menurut beliau, asas kiraan jarak dua marhalah bermula dari titik permulaan seseorang keluar bermusafir iaitu dari rumah atau tempat penginapan seperti hotel.

“Ia sebagaimana dijelaskan oleh Imam Al-Rafi’l dalam kitab Fath al-’Aziz bi Syarh al-Wajiz yang menyatakan ‘Dan apa yang kami riwayatkan daripada athar Ibnu ‘Abbas RA jelas menunjukkan bahawa yang diambil kita adalah jarak yang ditempuh dari tempat bermulanya perjalanan hingga ke destinasinya’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Facebook miliknya.

Jelas agamawan itu, asas perkiraan itu turut berpandukan nas Imam Asy-Syafie sendiri sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Haramain Al-Juwaini dalam kitab Nihayat al-Matlab fi Dirayat al-Madhhab:

“Para ulama meriwayatkan daripada nas Imam Asy-Syafie satu masalah yang hampir sama dengan apa yang telah kami sebutkan, iaitu sekiranya seseorang keluar dengan berniat untuk menuju ke sebuah bandar (besar) yang telah ditentukannya dalam niatnya dan akan bermukim di situ selama empat hari, kemudian akan keluar daripadanya menuju ke bandar lain yang juga telah ditentukannya, maka jika jarak antara tempat bermulanya perjalanan dengan bandar pertama itu tidak mencapai dua marhalah, dia tidak boleh menunaikan solat secara qasar.”

ASAS kiraan jarak dua marhalah bermula dari titik permulaan seseorang keluar bermusafir iaitu dari rumah atau tempat penginapan seperti hotel.

ASAS kiraan jarak dua marhalah bermula dari titik permulaan seseorang keluar bermusafir iaitu dari rumah atau tempat penginapan seperti hotel.

Namun begitu, jelas Dr Syed Shahridzan lagi, walaupun kiraan jarak bermula dari rumah atau tempat tinggal, seseorang hanya dibenarkan mengqasarkan solat selepas melepasi sempadan kawasan permukimannya.

“Kesimpulannya, kiraan jarak dua marhalah bermula dari tempat tinggal atau rumah seseorang bergerak hingga ke destinasi yang dituju, bukan dari sempadan kawasan permukimannya.

“Namun, seseorang yang bermusafir hanya boleh mengqasar dan menjamakkan solat setelah melepasi sempadan mukimnya.

“Sempadan tempat permukiman boleh diterjemahkan kepada sempadan kariah atau kawasan mukim,” coretnya.

Scroll to Top