JPN lapor polis video tular lelaki dakwa dari Myanmar tapi miliki MyKad

JPN lapor polis video tular lelaki dakwa dari Myanmar tapi miliki MyKad

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar dan mengakui mempunyai MyKad.

JPN dalam perkongsian di Facebook memaklumkan laporan polis itu dibuat di Putrajaya hari ini untuk siasatan lanjut berhubung penularan video itu bagi mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.

Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang dakwaan membabitkan pemilikan MyKad atau status kewarganegaraan seorang individu.

JPN bagaimanapun tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang atau menjalankan tindakan lanjut hanya berdasarkan rakaman video yang tular.

“Sebarang pengesahan hanya boleh dibuat melalui semakan rekod rasmi dan siasatan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Ketika ini identiti sebenar individu berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan tiada maklumat lengkap yang boleh digunakan bagi tujuan pengesanan atau tindakan lanjut oleh JPN,” katanya.

Sehubungan itu, JPN sudah memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan individu terbabit dan mengenal pasti identiti sebenar pemilik akaun terbabit.

Katanya, pihaknya turut memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu mengesan sumber asal penyebaran kandungan berkenaan serta mengenal pasti pihak yang terbabit dalam penyebarannya.

JPN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan dokumen pengenalan diri negara dan sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak terbabit.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mendapatkan fakta sebenar.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis berhubung perkara berkenaan.

Terdahulu, pengguna TikTok mempersoal bagaimana individu yang mendakwa berasal dari Myanmar tetapi mengaku memiliki MyKad. Ada yang membangkitkan sama ada MyKad berkenaan palsu atau ia kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Persoalan juga sama ada lelaki itu salah faham antara dokumen izin kerja permit dengan MyKad warganegara atau sebaliknya.

“Undang-undang ketat pihak berkuasa seperti JPN selalu menegaskan warga asing tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan IC (MyKad) biru.

“Kalau betul dia ada IC, pihak Imigresen atau pihak berwajib perlu selidik isu ini secepatnya supaya tidak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat tempatan,” kata pengguna TikTok yang berkongsi video itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top