Polis kawal Balai Rasmi Tunku Besar Tampin untuk pastikan ketenteraman awam

Polis kawal Balai Rasmi Tunku Besar Tampin untuk pastikan ketenteraman awam

am@hmetro.com.my

Seremban: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat kawalan di pintu masuk Balai Rasmi Tunku Besar Tampin, Tampin, pagi tadi bertujuan menjaga ketenteraman, keselamatan dan keamanan awam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, ia susulan pihaknya menerima maklumat berhubung kehadiran orang ramai di kawasan pintu masuk balai berkenaan.

“Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Tampin mengatur penugasan anggota dan pegawai polis bagi melaksanakan kawalan keselamatan serta pemantauan keadaan di lokasi berkenaan.

“Ia bagi memastikan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai dan kelancaran situasi di kawasan itu sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tindakan yang diambil adalah selaras dengan fungsi dan tanggungjawab

PDRM sebagaimana diperuntukkan mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967.

“Ia untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah berlakunya sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Jelasnya lagi, PDRM turut menerima satu salinan perintah mahkamah yang berkaitan dengan perkara berkenaan pada hari ini.

“PDRM menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan akan melaksanakan tugas serta tanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.

Tegas Alzafny, orang ramai diminta bertenang, mematuhi undang-undang serta tidak terbabit dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan.

“Keadaan keselamatan di lokasi adalah terkawal dan PDRM akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadualkan berlangsung di Balai Rasmi Kediaman Tunku Besar Tampin, pagi tadi kecoh apabila pembesar adat dilarang masuk ke dalam kawasan kediaman rasmi terbabit oleh pihak berkuasa.

Kekecohan itu berlaku di luar pintu masuk utama kediaman terbabit sebaik pembesar adat itu tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top