Perpaduan, persaudaraan perlu sentiasa disegarkan

Perpaduan, persaudaraan perlu sentiasa disegarkan

Sesungguhnya, nikmat berada dalam suasana masyarakat dan negara aman dan damai adalah anugerah Allah yang perlu sentiasa dijaga serta disyukuri. Bukan semua negara di dunia ini mampu mengecapi nikmat termahal itu, tetapi alhamdulillah kita di Malaysia ini sejak era awal kemerdekaan lagi, nikmat aman, damai dan tenteram sentiasa dilimpahkan oleh Allah.

Walaupun begitu, damai dan tenteram macam mana sekalipun, pasti akan timbul juga sesekali isu yang boleh merencat dan menggugat suasana damai itu. Namun, sekali lagi kita lafazkan rasa syukur yang amat sangat kepada Allah kerana berkat dasar pihak pemerintah yang digabung erat dengan kerjasama padu anggota rakyat, yang keruh dapat dijernihkan, yang jauh dapat didekatkan dan yang dekat dapat dimesrakan kembali.

Ingatlah, Rasulullah SAW tidak pernah sunyi mendidik kita dalam aspek memperkukuhkan hubungan perpaduan sesama ummah. Begitu banyak pesanan baginda, lalu sekali lagi terlintas di benak kotak fikir kita; “Mengapakah kita tergamak melupakan segala wasiat Rasulullah SAW yang selama ini terbukti bahawa ikatan ukhuwahlah yang akan memartabatkan imej dan reputasi ummah dan agama?”

Jelas sangat kini, kita semakin lupa dah tentang peringatan Allah yang meminta umat Islam sentiasa berada di dalam kejituan perpaduan yang ampuh dan utuh. Dalam Surah ali Imran ayat 103 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (agama Islam) dan jangan kamu berpecah- belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan (pada zaman jahiliah), lalu Allah menyatukan antara hati-hati kamu, maka dengan nikmat-Nya tersebut kamu menjadi dalam kalangan orang yang bersaudara. Dan kamu ketika dahulu sudah berada di tepi jurang neraka (kerana kekufuran kamu pada zaman jahiliah) lalu Allah menyelamatkan kamu (dengan nikmat Islam dan persaudaraan). Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya, semoga kamu mendapat petunjuk.”

Adakah masih kita ingat dan hayati peringatan Allah ini? Ya, seandainya semua dalam kalangan Muslimin mematuhi dan menghayati pesanan Allah ini, sudah pasti tidak akan berlaku suasana penuh kekecohan dalam masyarakat dan negara. Semua yang berlaku dan sedang dihadapi oleh ummah kini adalah akibat kita lupa semua yang diperingatkan serta banyak berpegang kepada ‘tali nafsu’ dan tidak kepada tali Allah!

Tokoh Bumi Kinanah (Mesir) yang tidak asing lagi, Imam asy-Syahid Hasan al-Banna juga pernah mengungkap satu pesanan beliau dalam hal bersangkutan membina ikat perpaduan ummah yang padu. Kata beliau: “Kekuatan pertama yang dibina ialah kekuatan kesatuan.” Kata-kata beliau itu sebenarnya sejajar dengan apa yang difirmankan Allah dalam Surah al-Maidah ayat 103 yang antara lain bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali ini (agama) Allah dan jangan kamu berpecah- belah.”

Sesungguhnya agama Islam sangat memfokuskan kepada pembinaan hubungan persaudaraan antara sesama manusia khususnya sesama umat Islam. Bahkan persahabatan dan ikatan ukhuwah Islamiah yang dijalinkan atas dasar akidah adalah lebih kuat daripada pertalian berlandaskan keturunan semata-mata. Ingatkah kita pada satu sabda baginda SAW yang mengatakan: “Seorang Mukmin adalah cermin kepada Mukmin yang lain. Dan seorang Mukmin adalah saudara kepada Mukmin yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Penulis ada terbaca satu kenyataan Imam Hasan al-Banna yang begitu panjang lebar yang kesemua ungkapannya padat berisi nasihat buat kaum Mukmin supaya memperteguhkan ikatan ukhuwah Islamiah. Antara lain kata Imam asy-Syahid: “Wahai kaum Muslimin. Apabila engkau berselisih pendapat dengan saudaramu, maka engkau ingatlah bahawa di hadapanmu masih terdapat satu tujuan yang tidak boleh diabaikan iaitu perpaduan. Ingatlah, bahawa engkau memiliki batasan-batasan yang tidak boleh dilampaui, iaitu usaha melestarikan ikatan hati antara sesama Muslim.”

Namun, dalam perkembangan mutakhir ini, penghayatan terhadap nasihat bermanfaat sebegini rasanya sudah sukar dikunyah resap ke dalam jiwa. Ini disebabkan kalangan kita sudah terperap begitu banyak unsur mementingkan diri dan puak sendiri. Cubit paha kanan, terasa pedihnya di paha yang kiri seakan-akan tidak wujud lagi.

Kita teruskan sedikit lagi pesanan Imam Hasan al-Banna tadi kerana ia masih berkesinambungan dalam wacana ujaran yang panjang. Kata beliau seterusnya: “Apabila hal semacam ini sudah terpateri di dalam jiwamu, pastilah engkaupun akan mendebatinya dengan penuh pertimbangan, akan menyanggahnya dengan penuh perhitungan, juga akan engkau akan berusaha mencari solusi bersama dengan tetap menjaga posisi saudaramu di hati masing-masing.”

Oleh sebab itulah maka engkau mesti selalu ingat peringatan al-Quran dan al-Hadis. Dalam al-Quran disebut: “Dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu” – (Maksud Surah al- Anfal ayat 46). Pesanan Rasulullah SAW: “Janganlah kamu bercerai-berai. Sesungguhnya umat sebelum kamu bercerai-berai, kemudian mereka binasa.”

Nah, apa yang saudara sekalian dapat hayati menerusi petikan nasihat Imam Hasan al-Banna ini? Tidak terpanggilkah di hati untuk meneliti apakah selama ini jiwa kita menepati sebagaimana diperingatkan oleh beliau itu? Penulis mengajak diri sendiri dan pembaca sekalian, marilah kita bermuhasabah diri dengan bersungguh ikhlas kerana Allah, apakah masih bersarang sikap buruk terhadap sesama setauhid kita?

Sudah begitu lama kita semua merindui suasana ikatan ukhuwah Islamiah yang padu sekukuh karang di dasar lautan. Kita begitu kepingin untuk menyaksikan kembali terwujudnya kesepakatan sesama ummah dalam segenap lapangan kehidupan sehingga kita kembali mengangkat imej dan reputasi ummah dan agama ke mercu dunia sebagai ummat terbaik yang wajar dicontohi oleh umat agama yang lain.

Tidak mustahil hasrat murni itu akan dikabulkan Allah seandainya kita semua mempunyai iman yang jujur dan takwa yang jitu. Kita seharusnya mencari kembali iman yang hilang dan seterusnya mematerikan seutuhnya ke jiwa setiap kalangan mukmin dengan sinaran iman yang murni.

Penulis pensyarah kanan Politeknik Muadzam Shah, Pahang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top