Teruskan inisiatif murni

Teruskan inisiatif murni

asyikin.mat@hmetro.com.my

Pencinta haiwan ini tidak pernah mengambil pusing kata-kata negatif segelintir masyarakat yang seolah-olah memperlekeh inisiatifnya membantu dan menyelamatkan haiwan jalanan.

Sebaliknya menganggap ia sebagai cabaran yang membakar semangat untuk meneruskan kerja murni yang dilakukan sejak empat tahun lalu.

Siti Khairunnisa Ab Khalid, 38, berkata, ada juga suara sumbang mengatakan memberi makanan kepada kucing jalanan sebagai perbuatan tidak berfaedah dan membazir kerana membelanjakan sejumlah besar wang untuk tujuan berkenaan.

Selain itu, ada juga memberikan kata-kata agak keterlaluan mengatakan haiwan ini membawa beban atau kemudaratan apabila memohon sumbangan orang ramai untuk merawat kucing malang ini.

“Ini kerana kos perbelanjaan untuk haiwan itu agak tinggi yang ada kalanya boleh mencecah ribuan ringgit sebulan, sekiranya membabitkan rawatan perubatan.

“Daripada puluhan kucing jalanan yang diselamatkan, 22 ekor haiwan ini dibawa tinggal bersama saya di rumah.

“Ada juga yang tidak dapat diselamatkan dan satu bilik khas disediakan bagi menempatkan kucing yang diselamatkan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama turut memberi makanan dan menyelamatkan anjing jalanan dengan cara menghantar ke pusat jagaan haiwan itu.

“Kucing dan anjing adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang berhak mendapat kehidupan lebih baik.

“Di samping itu saya percaya dengan memberi makan kepada haiwan juga adalah salah satu amalan bersedekah,” katanya.

Jelasnya, tidak kurang juga ada yang mempertikai tindakannya menempatkan kucing dalam rumah dan mengatakan tempat sepatutnya bagi haiwan itu ialah di luar rumah.

“Saya lebih yakin kucing berada di dalam rumah kerana keselamatannya lebih terjamin.

“Ini kerana ada segelintir individu tidak berperikemanusiaan dan tergamak bertindak kejam terhadap haiwan berkenaan.

“Terlalu banyak kes penganiayaan haiwan yang berlaku setiap hari di merata tempat.

“Saya pernah menyaksikan depan mata sendiri orang mengasari haiwan jalanan walhal haiwan itu sedang berehat,” katanya.

Menyorot kembali pembabitan awalnya menyelamatkan haiwan jalanan Siti Khairunnisa berkata, ia bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.

Katanya, ketika itu premis perniagaan tidak beroperasi menyebabkan banyak kucing jalanan kelaparan.”Keadaan fizikal kucing bukan sahaja kurus tetapi banyak juga yang tidak sihat.

“Ini menimbulkan rasa simpati dan juga menjentik hati saya untuk memberi makanan serta menyelamatkannya.

“Lokasi menyelamatkan haiwan ini adalah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Tetapi, lebih tertumpu di Sungai Buloh, Selangor kerana saya menetap di sini,” katanya.

Menurutnya, kucing jalanan yang diselamatkan menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk penyakit kronik yang boleh mengakibatkan kematian.

“Seekor kucing yang diselamatkan bernama Charlie menghidap leukemia kucing atau Feline Leukemia Virus (FeLV) iaitu jangkitan retrovirus.

“Penyakit ini turut menyebabkan ulser teruk (stomatitis) pada mulut haiwan berkenaan hingga berdarah yang membuatkannya kesakitan apabila makan.

“Si bulus ini diberikan rawatan suntikan antiviral selama 90 hari berturut-turut dan selesai rawatan berkenaan tahun lalu.

“Kos rawatan ini agak tinggi iaitu kira-kira RM8,000 yang menggunakan dana sumbangan orang ramai,” katanya.

Siti Khairunnisa berkata, gigi kucing di bahagian yang sakit dicabut dan kesihatannya semakin baik serta tiada lagi masalah mulut berdarah.

“Kucing yang dijumpai sebelah siang akan dibawa terus ke klinik untuk rawatan lanjut.

“Tetapi jika saya sibuk dan ada kerja yang membataskan masa untuk membantunya (kucing), saya akan cuba minta bantuan di media sosial bagi menyelamatkan haiwan yang sakit.

“Sebaliknya jika dijumpai pada sebelah malam, maka kucing ini perlu diasingkan daripada kucing peliharaan lain bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Katanya lagi, dia ada menyelamatkan seekor kucing yang unik iaitu baka Domestic short hair tetapi coraknya seperti anjing Dalmatian.

“Ia spesies jarang jumpa kerana kewujudannya ‘satu’ dalam sejuta.

“Kucing ini berbulu putih yang bertanda dengan banyak tompok hitam mirip anjing.

“Si bulus ini tular kerana keunikannya dan ramai menyangka baka spesies ini dari luar negara tetapi sebenarnya baka tempatan,” katanya.

Dalam pada itu Siti Khairunnisa menyeru kerajaan supaya mengambil langkah proaktif meningkatkan kesedaran dan menyokong usaha menyelamatkan haiwan jalanan seperti yang dilakukan di Turkiye.

“Pendekatan ini penting untuk melahirkan masyarakat penyayang dan berempati, di samping memberi kesedaran berkenaan program perangkap, mandul dan lepas (TNR). Ia terbukti berkesan mengawal populasi haiwan jalanan yang banyak dijalankan negara maju.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top