am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Guru lelaki yang bertindak mengelar isterinya dalam pergaduhan di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, Rabu lalu akan direman hari ini (Sabtu).
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan suspek akan dibawa ke Mahkamah Balik Pulau bagi mendapatkan perintah reman.
“Suspek kelar isteri akan direman pagi esok (pagi ini),” katanya di sini, tengah malam ini.
Terdahulu media melaporkan, hutang pinjaman bank dan ansuran e-dagang dipercayai menjadi punca pergaduhan sehingga suspek yang berusia 30 tahun itu bertindak mengelar isterinya.
Sazalee dilapor berkata, siasatan awal pihak polis mendapati suspek yang juga seorang guru itu membuat pinjaman bank bagi pelaburan saham selain pembayaran ansuran barangan yang dibeli melalui platform e-dagang.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, seorang wanita berusia 28 tahun cedera di leher akibat dikelar suaminya yang juga seorang guru.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu disedari ibu mangsa selepas terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas sebelum mendapati menantunya sedang menindih mangsa sambil cuba mengelar leher isterinya.
Suspek kemudian bertindak mengelar leher dan pergelangan tangan kirinya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




