am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pemandu ditahan reman selama empat hari sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan kemalangan maut membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Persimpangan Lampu Isyarat Melor, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian jam 6.35 petang itu, mangsa, Azri Anuwar, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pemandu kereta Proton Saga FL berusia 33 tahun itu ditahan jam 10 pagi, kelmarin.
Katanya, ujian saringan awal air kencing didapati negatif dan semakan juga didapati tiada rekod jenayah.
“Siasatan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 / Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan tiga kereta.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu pemandu Proton Saga FL yang bergerak lurus dari arah Pasir Puteh menghala ke Kota Bharu.
Katanya, pada masa sama, sebuah motosikal SM Sport ditunggang mangsa bergerak dari arah Gunong menghala ke Kota Bharu selepas lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.
“Bagaimanapun, pemandu Proton Saga FL dipercayai bergerak laju dan melanggar lampu isyarat merah sebelum melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal mangsa.
“Kereta itu dipercayai turut melanggar bahagian belakang sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 40-an dari arah yang sama sebelum terbabas dan terbalik ke pembahagi jalan.
“Penunggang motosikal parah di kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mohd Rosdi berkata, polis meminta orang ramai yang melihat kemalangan itu tampil untuk membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Sharif Mohd Ridhuan Bin Sharif Hassan di talian 09-7752315.
© New Straits Times Press (M) Bhd



