Shelly umum persaraan selepas Kejohanan Dunia Tokyo

Shelly umum persaraan selepas Kejohanan Dunia Tokyo

Manchester: Jaguh pecut Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce akan menggantung kasut pecutnya selepas Kejohanan Dunia bulan depan di Tokyo selepas dia menyifatkan bahawa dia mungkin sudah mencapai apa yang diidamkan wanita dalam sukan.

Pemenang tiga pingat emas Olimpik dan 10 emas dunia itu mengumumkan akan beraksi semusim lagi pada 2025, sambil menegaskan masih ada urusan yang belum selesai selepas menarik diri daripada final 100 meter (m) di Sukan Olimpik Paris tahun lalu akibat kecederaan.

“Saya tidak mendapat peluang untuk lakukan apa yang saya tahu mampu saya lakukan ketika itu.

“Dan ia sangat menyakitkan. Buat pertama kali dalam seluruh karier saya, saya tidak dapat berdiri di garisan permulaan untuk bertanding,” kata Shelly yang berusia 38 tahun.

Walaupun hanya beraksi dalam beberapa perlumbaan musim ini, pelari yang mesra digelar “Pocket Rocket” itu tetap layak ke Kejohanan Dunia kesembilannya selepas menamatkan saingan ketiga dalam acara 100m di pemilihan Jamaica.

Shelly menyifatkan ia sebagai detik “lengkap kitaran” daripada kejohanan dunia pertamanya di Osaka pada 2007, ketika dia hadir sebagai pelari simpanan untuk pasukan 4x100m berganti-ganti.

“Saya masih ingat ketika itu saya sangat tidak pasti tentang siapa diri saya, hanya mempunyai matlamat sederhana, sekadar gembira dapat berada di sana.

“Kini, berada di sini, dalam detik ini, dengan penuh keyakinan terhadap siapa diri saya, seorang wanita, ibu, dan atlet ia sungguh satu perasaan yang luar biasa.”

Shelly yang melahirkan anak lelakinya Zyon pada 2017, berkata pengalaman menjadi ibu mengubah kariernya.

Dia memecahkan tanggapan negatif mengenai kehamilan dalam sukan dengan memenangi acara 100m di Kejohanan Dunia 2019 dan mempertahankan gelaran itu pada 2022.

“Apabila saya melintasi garisan penamat (pada 2019), saya tahu ia adalah kemenangan, bukan hanya untuk diri saya tetapi juga untuk ramai wanita lain, untuk ramai ibu lain,” katanya kepada Olahraga Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top