Polis tahan wanita tular ganggu sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Polis tahan wanita tular ganggu sambutan Hari Kebangsaan di Perak

syazrina@hmetro.com.my

Ipoh: Polis sudah menahan seorang wanita yang tular selepas dia bertindak menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata suspek masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.

“Suspek berusia 41 tahun, ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah dan rekod rawatan psikiatri serta sedang berada di bawah pengawasan pakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek ialah negatif.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top