norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi juga komposer, Aisha Retno, 26, mahu memberi fokus kepada jadual karier seninya yang padat termasuk persediaan untuk Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL 40) dan pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM).
Aisha atau nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata dia sangat bersyukur dengan rezeki diperolehnya hasil kerja keras dibuat yang tidak jemu untuk terus menempatkan nama dan bakat dalam industri.
“Alhamdulillah, syukur kepada rezeki yang Allah berikan hasil daripada usaha dan kerja keras saya selama ini. Terima kasih juga kepada semua yang sudi menyokong, memberikan semangat dan menerima lagu saya dengan baik.
“Jadual kerja seni saya memang sibuk dan padat, tetapi tidak mengapa kerana ini minat saya pun. Saya gembira semakin mendapat peluang dan untuk itu perlu membuat terbaik kepada mereka yang menyokong saya,” katanya kepada Harian Metro ditemui baru-baru ini.
Ujar Aisha yang popular dengan lagu Jodoh Lebaran pada sambutan hari raya Aidilfitri lalu, kini dia perlu mempersiapkan dirinya untuk kuat dan bersemangat daripada segi mental dan fizikal sebelum berdepan jadual seni yang padat mulai Ogos nanti.
“Jadual saya pada Ogos depan boleh dikatakan agak padat dan mencabar juga sebab terbabit bermacam acara seperti festival Latihan Pestapora Malaysia 2026 pada 15 Ogos dan kemuncak AJL 40 dan ‘show’ lain lagi.
“Bukan itu sahaja, saya juga dapat rezeki dipilih berlakon dalam teater PGLM untuk watak utama sebagai Gusti Putri Retno Dumilah. Jadi, semua ini adalah rezeki saya dan harus berlatih bersungguh-sungguh.
“Tidak mudah hendak dapatkan semua ini dan apabila sudah berjaya, saya tahu kena fokus, rajin berlatih dan bersemangat. Penat itu memang akan ada dan ia perkara biasa,” katanya.
Tidak hanya itu, Aisha juga memaklumkan dia mahu sentiasa berfikiran positif serta tidak mahu terlalu memikirkan perkara tidak sepatutnya menerusi perkongsian hantaran dimuat naik di media sosial.
Katanya, platform media sosial sekarang memang berpengaruh besar untuk semua orang dan sesiapa sahaja berkongsi cerita serta memuat naik pelbagai hantaran yang diinginkan kerana itu adalah hak masing-masing.
“Saya hanya hendak fokus pada kerja-kerja seni saya sahaja. Sebab ini adalah masa saya untuk memaparkan hasil kerja yang mampu dibuat seiring dengan minat. Saya mohon terus berikan sokongan,” ujarnya.
Terdahulu, Aisha mula aktif dalam karier nyanyian pada 2018 dan pernah menyertai program Big Stage musim keempat pada 2022 serta mendapat tempat ketiga.
Menerusi lagu Sutera nyanyiannya yang dicipta bersama komposer Aziz Abu Hassan pula dia berjaya bertanding di AJL 38 pada 2024 dan merangkul anugerah Persembahan Terbaik pada acara hiburan berprestij itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




