lokman.khairi@hmetro.com.my
Gombak: Lebih 400 penduduk berhimpun di pekarangan Surau Al-Mukmin, Mutiara Gombak, di sini pada malam ambang kemerdekaan bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-68.
Ahli Jawatankuasa Biro Kebajikan dan Pendidikan Muslimah surau merangkap Pengarah Program, Siti Rabiah Nasrudin berkata, pelbagai program diatur pihaknya sejak 2 Ogos lalu bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan ahli kariah.
“Setiap minggu, kami anjurkan pelbagai program seperti pertandingan bola jaring, bola sepak dan sukaneka yang melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun sehingga warga emas.
“Kemuncak malam tadi dimeriahkan dengan pengisian tazkirah, persembahan sajak, nyanyian lagu patriotik, serta pertandingan poster dan video.
“Lebih menarik, majlis turut menyediakan makanan dan 300 hadiah cabutan bertuah kepada penduduk yang hadir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, Surau Al-Mukmin turut menganjurkan program Tahsin al-Quran (proses memperelokkan dan memperbetulkan bacaan) yang bermula bulan ini dan akan berakhir sebelum Ramadan, sebagai salah satu aktiviti sepanjang tahun.
Turut hadir, Pengerusi Surau Al Mukmin, Datuk Nasharuddin Shukor.
Siti Rabiah berkata, pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Surau Al-Mukmin, Azlan Abdul Jalil membawa mesej mendalam mengenai erti sebenar kemerdekaan.
Menurutnya, mesej utama adalah agar ahli komuniti memerdekakan hati daripada sifat iri hati dan dengki, serta sentiasa bersatu padu sebagai sebuah kejiranan.
“Alhamdulillah, program malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 400 penduduk terdiri daripada penghuni Pangsapuri Mutiara Gombak, Desa Mukmin, Halamanda serta Taman Kamariah.
“Tepat jam 12 tengah malam diserikan dengan pertunjukan bunga api, meraikan ulang tahun kemerdekaan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
