hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya hanya mahukan jawapan mengenai kematian tunang kerana kematian arwah agak mencurigakan.
“Jika benar ada unsur itu termasuk jenayah, saya mahu keadilan untuknya,” kata wanita dikenali sebagai Qistina, 28, mengenai kematian tunangnya 19 Julai lalu.
Menurut wanita itu, tunangnya Jeremy Mah Ci Wei, 26, ditemui meninggal dunia dalam kereta di Putrajaya Lake Park, Cyberjaya dan dia mengesyaki kematian itu yang mungkin berunsur jenayah.
Bagaimanapun Qistina mendakwa tidak mendapat maklum balas mengenai perkembangan kes daripada pihak berkuasa sekali gus membuatkannya kecewa.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah tunang pada malam hari kejadian sebelum dia pergi kerja pada 12.30 tengah malam dan pada paginya saya mula curiga kerana arwah tidak menghubungi saya pada waktu rehat.
“Saya saya cuba menghubunginya tetapi arwah tak balas mesej dan angkat telefon. Saya risau kemudian memeriksa lokasinya melalui aplikasi sebelum lihat lokasi arwah di Putrajaya Lake Park dan terus ke lokasi,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.
Katanya, dia terkejut melihat Jeremy terbaring di tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1.30 tengah hari dan pasukan perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan lelaki sudah meninggal dunia.
Dakwanya, dia melihat ada kesan seperti lebam di kedua-dua siku hingga tangan tunangnya, selain turut mendakwa tangan lelaki berkenaan seperti menggenggam sesuatu.
Qistina mendakwa, Jeremy pernah mempunyai perselisihan faham dengan beberapa individu dan pada hari kejadian, lelaki itu dikatakan mahu berjumpa seorang rakan.
“Saya dimaklumkan kejadian itu tiada unsur jenayah dan semua organ tunang juga baik, tetapi saya agak curiga selepas lihat keadaan arwah dan beberapa faktor termasuk sebelum itu arwah tunang ada beritahu majikan yang keretanya rosak, tetapi sudah ada (orang) yang membantu tetapi majikannya tidak tahu siapa orangnya.
“Saya pernah tanya mengenai siasatan termasuk (siasatan) forensik telefon dan kereta arwah, ujian makmal serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, tetapi sehingga kini masih belum menerima maklumat yang jelas.
“Saya tidak mahu menuduh sesiapa, cuma saya berharap pihak berkuasa dapat memberi jawapan yang telus supaya saya dan keluarga arwah tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Dia juga berharap pihak berkuasa membuat siasatan terperinci terhadap kematian Jeremy untuk merungkai punca sebenar.
“Jika betul ada unsur jenayah saya berharap arwah dapat keadilan sewajarnya,” katanya yang memaklumkan mereka sepatutnya mendirikan rumah tangga pada Oktober ini dan Jeremy memeluk Islam pada 10 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Norhizam Bahaman ketika dihubungi berkata, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau juga menafikan polis tidak memberi maklum balas mengenai perkembangan kes kepada keluarga, sebaliknya masih menunggu laporan lengkap bedah siasat.
“Kita sudah menghantar (mangsa) untuk proses bedah siasat dan siasatan dijalankan. Jadi kita perlu tunggu laporan daripada pihak hospital, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
