am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Tindakan kontraktor melepaskan tembakan ketika upacara sembahyang tahunan di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, Bestari Jaya, di sini mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung video kejadian itu yang tular pada 3.50 petang.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11.30 pagi, 30 Ogos lalu.
“Suspek adalah lelaki berusia 53 tahun, dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke udara ketika upacara berjalan.
“Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan IPD Kuala Selangor berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Petaling Jaya, pada 8 malam Isnin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata api yang sah, dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat punca sebenar tembakan dilepaskan.
Menurutnya, sepucuk pistol model CZ dirampas dan suspek direman tiga hari hingga Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
© New Straits Times Press (M) Bhd




