Kowloon Walled City, bandar paling padat di dunia

Kowloon Walled City, bandar paling padat di dunia

syazrina@hmetro.com.my

Kowloon, Hong Kong: Sehingga tahun 1994, satu kawasan kecil di Hong Kong pernah digelar sebagai ‘bandar menegak’ padat dengan lebih 30,000 penduduk yang hidup berhimpit-himpit dalam keadaan sukar dibayangkan.

Bandar itu dikenali sebagai Kowloon Walled City, penempatan yang penuh dengan sampah sarap, sarang jenayah dan anarki sehingga menimbulkan rasa ingin tahu bercampur ketakutan kepada sesiapa sahaja yang berani menjejakkan kaki ke dalamnya.

Menurut laporan National Geographic pada 8 Mei 2025, Walled City pernah dilabel sebagai ‘bandar kegelapan’ kerana lorong sempitnya hampir tidak menerima cahaya matahari, seolah-olah dalam dunia tersendiri yang terasing daripada kota besar Hong Kong.

Asalnya, kawasan ini bukan pusat maksiat, sebaliknya dibina sebagai pos ketenteraan Dinasti China sekitar tahun 1668 sebelum berkembang menjadi kubu kecil dengan menara kawalan, pintu gerbang dan meriam.

Namun, selepas Perang Candu Pertama berakhir pada 1843, Hong Kong diserahkan kepada British manakala Walled City kekal di bawah China, menjadikannya kawasan kecil yang terasing di tengah wilayah British dan sering mencetuskan ketegangan politik.

Memetik National Geographic, meskipun statusnya tidak menentu, kawasan seluas 6.4 ekar itu tetap terbuka kepada orang luar termasuk koloni British, pedagang China dan pelancong asing, sekali gus mula berkembang sebagai pusat hiburan serta perjudian.

Pertikaian mengenai kedaulatan Walled City semakin tegang selepas ‘Convention for the Extension of Hong Kong Territory’ ditandatangani pada 1898, meletakkan bandar itu dalam status undang-undang yang kabur.

Setahun kemudian, tentera British menyerbu kawasan berkenaan dengan alasan ia menjadi pusat penentangan, lalu mendudukinya tetapi masih gagal mengawal sepenuhnya.

Kejatuhan Dinasti Qing pada 1912 dan perang saudara di tanah besar China antara 1927 hingga 1949 menambahkan kekusutan, apabila ribuan pelarian membanjiri Hong Kong dan memilih Walled City sebagai tempat berteduh.

Dalam beberapa dekad, populasi kawasan itu melonjak daripada ratusan kepada puluhan ribu, membentuk sebuah komuniti besar tanpa sebarang pengiktirafan rasmi daripada kerajaan China mahupun British.

Sejarawan seni bina, Eunice Mei Feng, menyifatkan kawasan itu sebagai ‘tempat persembunyian penjenayah, himpunan struktur haram yang mudah terbakar dan berisiko terhadap kesihatan’, namun tempat itu juga lahirnya sebuah komuniti tersendiri.

Bangunan dibina secara rawak, bertingkat-tingkat sehingga balkoni dan tangga curam menghubungkan blok ke blok, manakala pusat perjudian, kelab malam, restoran serta pasar tidak terkawal tumbuh pesat di lorong-lorong sempit.

Bagi dunia luar, ia adalah sarang maksiat dan kekotoran, tetapi bagi penduduknya, itu rumah yang mampu mereka miliki, malah menurut analisis sejarah lisan oleh sarjana Hong Kong, komuniti itu mempunyai ikatan sosial kuat serta kos sara hidup rendah.

Menjelang tahun 1980-an, jumlah penduduk Walled City dianggarkan mencecah 60,000 orang, menjadikannya penempatan paling padat di dunia ketika itu, seperti yang dilaporkan oleh portal Domus.

Namun era itu juga menandakan detik akhir Walled City apabila Britain dan China mencapai persetujuan pada 1987 untuk merobohkannya sebagai sebahagian daripada persediaan penyerahan Hong Kong kepada Beijing.

Proses pemindahan mengambil masa hampir sedekad sebelum kawasan itu akhirnya diratakan pada tahun 1994, meninggalkan hanya tapak yang kini menjadi Kowloon Walled City Park.

Walaupun sering digambarkan media antarabangsa sebagai kota neraka penuh jenayah, sejarawan menilai Walled City sebagai contoh ketabahan manusia membina kehidupan walaupun dalam keadaan terpinggir dan diabaikan.

‘Bandar kegelapan’ itu mungkin sudah tiada dari peta, namun legasinya terus hidup daripada filem seperti Twilight of the Warriors: Walled In hingga ke pameran imersif di Hong Kong, kisahnya terus memikat generasi baharu.

Seperti dirumuskan oleh National Geographic, Walled City menjadi peringatan bahawa dalam situasi paling sukar, manusia tetap mampu bertahan dengan apa juga cara yang ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top