Selepas malukan Man United, Grimsby didenda RM113,000

Selepas malukan Man United, Grimsby didenda RM113,000

Manchester: Kemenangan bersejarah Grimsby Town menyingkirkan Manchester United dalam pusingan kedua Piala Liga kini dibayangi denda £20,000 (RM113,000) selepas didapati menurunkan pemain tidak layak beraksi.

Pasukan divisyen keempat itu mengejutkan United apabila mara selepas menang sepakan penalti, selepas terikat 2-2 dalam 90 minit permainan minggu lalu.

Namun, Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) hari ini mengesahkan bahawa pemain tengah, Clarke Oduor, yang baru dipinjam dari Bradford City sehari sebelumnya, didaftarkan lewat satu minit melepasi tarikh akhir.

Grimsby sendiri melaporkan kesilapan itu dan menegaskan ia berlaku tanpa sengaja.

“Pendaftaran Oduor dihantar pada jam 12.01 kerana masalah komputer, yang tidak dapat dikesan ketika itu,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.

“Kami menerima denda ini dan sepenuhnya memahami kepentingan mematuhi peraturan pertandingan,” kata kenyataan itu lagi.

Kelab itu perlu membayar £10,000 (RM56,500) sekarang, manakala baki £10,000 lagi ditangguh sehingga akhir musim.

“Kami komited terhadap piawaian profesional tertinggi,” jelas kenyataan kelab itu.

Grimsby akan berdepan pasukan Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday dalam pusingan ketiga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top