“Semalam I call you, you tak answer, you kata you keluar pergi dinner…” Weh, siapa je tak terus teringat suara merdu Zee Avi dengan lagu Kantoi yang pernah jadi siulan satu Malaysia tu kan? Kali ini, penyanyi kesayangan kita tu kembali bukan dengan lagu baru, tapi dengan kolaborasi padu bersama jenama barang kemas tempatan, Minimalist Lab (MNML).

Gabungan ini diberi nama From The Heart. Kempen ni dah pun bermula sejak 22 Ogos dan akan berakhir hingga 30 September 2025 ini.
Bukan sekadar koleksi perhiasan biasa, kempen ini hadir dengan semangat cinta, identiti dan kenangan yang dekat di hati.

Dengan aura soulful Zee Avi ni pulak, setiap rekaan seolah-olah membawa mesej tersendiri yang boleh dipakai sebagai simbol siapa kita sebenarnya. Menarik tau gais.
“This Isn’t Just Jewelry, It’s a Love Letter”
Koleksi From The Heart lahir dengan niat nak menggabungkan seni perhiasan dengan muzik, dan dalam masa sama menghargai identiti budaya Malaysia.
Nicole, pengasas MNML, menekankan bahawa koleksi ini bukan sekadar barang kemas. Baginya, ia adalah surat cinta kepada Malaysia, kepada memori, dan juga kepada diri sendiri.

Aura Zee Avi yang penuh jiwa memang kena dengan kempen ni. Kalau sebelum ni kita kenal dia dengan lagu penuh makna, kali ini mesej itu diterjemahkan ke dalam bentuk aksesori yang boleh dipakai setiap hari.
Koleksi Bunga Raya – Kecil Tapi Penuh Makna
Salah satu highlight utama dalam kolaborasi ini ialah Koleksi Bunga Raya. Inspirasi daripada bunga kebangsaan kita, setiap rekaan dibuat daripada lakaran tangan asal sebelum diterjemah kepada aksesori sebenar. Semua barang kemas dalam koleksi ini menggunakan keluli tahan karat yang kalis air, jadi memang sesuai untuk pemakaian harian.

Nicole akui, bunga raya dipilih sebab ia bukan simbol yang lantang atau garang, tetapi lembut, kuat, dan berakar. Macam rakyat Malaysia sendiri, sederhana tapi berjiwa besar. Katanya lagi, walaupun Minimalist Lab semakin berkembang dan masuk ke pusat membeli-belah utama, jenama ini tetap berpegang kepada akar tempatan dan mahu kekal sebagai sebuah jenama Malaysia.
Koleksi Love Letter – Kisah Hidup Diukir Rapi
Selain Koleksi Bunga Raya, From The Heart juga hadir dengan Koleksi Love Letter. Rekaan ini lebih personal kerana pelanggan boleh mengukir mesej sendiri pada barang kemas. Sama ada lirik lagu kegemaran, tarikh penting, nama insan tersayang atau kata-kata penuh emosi, ukiran ini menjadikan setiap aksesori lebih dekat dengan hati.

Konsepnya jelas, setiap orang ada kisah sendiri, dan koleksi ini membolehkan pemiliknya bawa kisah itu ke mana sahaja mereka pergi.
Wear Your Roots: Kempen Sokong Lokal
Lebih menarik, kolaborasi ini turut mengetengahkan kempen Support Local dengan slogan Wear Your Roots. Nicole berkongsi bagaimana dia tersentuh apabila Zee Avi pernah menyebut MNML sebagai sebuah jenama kelahiran Malaysia.

Dalam dunia retail yang sering dikuasai jenama antarabangsa, MNML mahu kekal relevan dengan memilih makna berbanding kuantiti. Nicole menyifatkan jenama tempatan bukan bermakna ia kurang bernilai, sebaliknya lebih berani kerana masih teguh dengan identiti sendiri.
MNML Friends – Raikan Karya Anak Tempatan
Bukan sekadar barang kemas, kempen From The Heart juga meraikan para kreatif melalui inisiatif MNML Friends. MNML memberi penghormatan kepada penggiat seni tempatan yang bekerja dengan kejujuran dan keaslian. Malah, jenama ini turut bekerjasama dengan beberapa jenama tempatan lain untuk menjayakan kempen, dengan harapan dapat mencipta pengalaman penuh makna untuk semua.
Di Mana Nak Dapatkan Koleksi Ini?
Koleksi From The Heart boleh didapati sepanjang tempoh kempen di butik MNML yang terletak di TRX, Pavilion dan Sunway Velocity. Untuk peminat yang lebih suka membeli secara dalam talian, koleksi ini juga tersedia di laman rasmi mereka di www.minimalistlab.com.

Kalau anda nak sesuatu yang cantik tapi penuh makna, inilah masanya. Koleksi ini datang bukan sekadar dari butik atau laman web, tapi terus from the heart.




