Jakarta: Bekas Ahli Parlimen Indonesia, Ahmad Sahroni melaporkan kejadian rompakan di rumahnya di Tanjung Priok kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jakarta Utara pada malam Isnin, lapor Kompas.
“Laporan sudah dibuat,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta Utara, Asisten Superintendan Maryati Jonggi ketika dihubungi pada Selasa.
Laporan itu dibuat oleh peguam Ahmad Sahroni. Bagaimanapun, kes rompakan rumah Ahmad Sahroni akan dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Metro Jaya.
“Laporan dibuat di peringkat daerah tetapi pengendalian kes dipindahkan ke peringkat kontinjen,” kata Maryati.
Menurutnya, sebelum laporan itu diterima, Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Daerah Metro Jakarta Utara sudah memulakan siasatan.
Malah, mereka sudah menyoal siasat lima individu berhubung kes rompakan itu, namun Maryati enggan mendedahkan identiti mereka.
Rumah milik Ahmad Sahroni di Kebon Bawang, Tanjung Priok, didatangi individu tidak dikenali pada petang Sabtu yang kemudiannya merosakkan rumah, kereta dan mengambil barangan berharga milik Ahmad Sahroni.
Akibat kejadian itu, cermin rumah pecah dan perabot musnah, manakala kereta milik ahli politik itu remuk, cermin pecah, badan kenderaan kemek dan bahagian hadapan hampir hancur.
Nama Ahmad Sahroni menjadi perhatian umum baru-baru ini berikutan kenyataannya mengenai desakan pembubaran Parlimen.
Dalam satu kenyataannya, beliau menyifatkan desakan rakyat untuk membubarkan dewan itu sebagai satu kesilapan.
Malah, dalam satu lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sumatera Utara pada 22 Ogos lalu, Sahroni menyifatkan kenyataan untuk membubarkan parlimen sebagai ‘tolol’.
© New Straits Times Press (M) Bhd

