Pelakon jelita, Anna Jobling mengakui dia terpaksa menangguhkan perjalanannya ke Indonesia yang dijadualkan hari ini berikutan gelombang rusuhan secara besar-besaran yang berlaku di negara itu.
Kata Anna, tayangan perdana filem Sukma lakonannya juga terpaksa ditunda atas faktor-faktor keselamatan selain merasakan tayangan filem adalah tidak wajar dilakukan pada ketika negara sedang bergolak.
“Sebenarnya saya dijaduakkan pergi ke sana (Indonesia) untuk filem premier, Sukma dekat sana. Tapi terpaksa ditunda sebab sekarang ni seperti yang kita tahu keadaan di sana tidak selamat dan ramai juga nak keluar dari Indonesia jadi, kita ni yang nak pergi sana sangat lah tidak masuk akal.
“Dan melakukan filem premier diwaktu ini sangat tidak sesuai. Tapi, saya cuma nak cakap, semoga Indonesia cepat sembuh.
“Lagipun Jakarta adalah rumah kedua saya. Hampir setiap bulan saya akan berada di sana. Jadi, bila saya melihat perkara ini saya sangat sedih. Saya doakan semoga cepat sembuh,” katanya.

Anna atau nama penuhnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, berkata demikian ketiak ditemui pada majlis tayangan episod ke-27 drama Setia Itu Mahal di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, pada Selasa.
Dalam pada itu, ketika disoal mengenai gerakan bantuan yang dihulurkan rakyat Malaysia kepada warga Indonesia, Anna meluahkan rasa bangganya terhadap sikap empati yang ditunjukkan masyarakat di negara ini.
“Saya sangat bangga sebagai seorang rakyat Malaysia yang kita tolong negara jiran kita.
“Walaupun kita sering bertelagah dengan hal-hal kecil, tapi ini adalah hari yang penting untuk kita offer our help. Dan ada rasa empati terhadap mereka.
“Malah rakyat Thailand dan Singapura juga turut memberikan sokongan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Anna berpuas hati dan gembira dengan sambutan luar biasa yang diterimanya menerusi drama bersiri 28 episod, Setia Itu Mahal arahan Jamal Khan.
Jelasnya, meskipun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi ketika menjayakan drama tersebut, namun dia gembira kerana lakonannya mendapat respons positif dalam kalangan peminat.




