'Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok' – Fahmi

'Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok' – Fahmi

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi tidak berpuas hati dengan sikap platform media sosial,TikTok yang dianggap tidak serius menangani isu yang dibangkitkan berhubung aplikasi dalam talian itu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak TikTok dilihat gagal menangani isu-isu membabitkan platform itu terutama masalah penipuan, dan buli siber.

“Isu yang kami bangkitkan berkenaan dengan aspek keselamatan dalam talian, saya meminta supaya pasukan TikTok, PDRM dan MCMC meneruskan perbincangan, meletakkan beberapa tempoh masa dan tindakan yang perlu mereka lakukan.

“Saya secara umumnya sangat tidak berpuas hati dengan sikap TikTok yang tidak serius dalam mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi masalah tertentu yang kami bangkitkan sebelum ini.

“Satu contoh ialah apabila berlaku kes buli siber terhadap mendiang Rajeswary Appahu atau ‘Esha’, TikTok menjanjikan jumlah moderator bagi kandungan termasuk Live akan bertambah namun gagal menyatakan jumlah sehingga kini, “katanya pada sidang media

Sesi Perjumpaan Menteri Komunikasi dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama TikTok di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah berkali-kali meminta jumlah moderator terbabit yang mengawasi kandungan berbahasa Tamil daripada pihak TikTok namun tiada maklum balas.

Katanya, pihaknya terus menerima aduan berhubung masalah buli siber membabitkan komuniti India di platform TikTok.

“Keingkaran untuk mengatasi masalah ini boleh mengakibatkan pihak TikTok dikenakan tindakan perundangan.

“Saya serahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk meneliti apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top