Warga luar yang tinggal lebih masa di Malaysia tidak melebihi 90 hari dengan alasan munasabah akan dikenakan kompaun bermula bulan hadapan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Warga luar tinggal lebih masa kurang daripada 90 hari
Memetik laporan daripada NST, beliau menyatakan langkah itu dapat mempercepatkan proses yang sebelum ini mengambil masa sehingga dua minggu kerana perlu melalui siasatan dan pendakwaan.
“Bila kita kenakan kompaun, maknanya ia tidak berakhir dengan pendakwaan. Asalnya, kes tinggal lebih masa ini kena buka kertas siasatan dan mesti didakwa.
“Kompaun ini hanya bagi mereka (warga asing) yang tinggal lebih masa tidak melebihi 90 hari,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen.

Warga luar tinggal lebih masa atas alasan munasabah
Beliau turut menjelaskan, alasan munasabah termasuk sakit, kemalangan atau bencana alam akan dipertimbangkan.
Bagi kesalahan 1 hingga 30 hari, kompaun dikenakan RM30 sehari (maksimum RM900); 31 hingga 60 hari RM1,000; manakala 61 hingga 90 hari RM2,000.
“Dengan tindakan kompaun ini, kita dapat cepatkan tempoh memproses yang biasanya ambil masa 14 hari, kali ini kita ambil masa sehari sahaja,” ujarnya.

Artikel lain: Malaysia miliki keupayaan risikan mantap, kekang ancaman ejen asing – Saifuddin Nasution
Dalam masa sama, beliau memaklumkan seramai 35,225 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan sejak 1 Januari hingga 30 Ogos lalu kerana melanggar pelbagai peraturan imigresen.




