Abang Peti Ais buktikan mampu raih pendapatan lima angka sebulan

Abang Peti Ais buktikan mampu raih pendapatan lima angka sebulan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kajang: “Boleh ‘hidup’ ke dengan kerja baiki peti ais?,”

Itu soalan pernah diajukan seorang pelanggan kepada Ahmad Fazril Hazim Ahmad Faizol, 29, yang mencari rezeki dengan mengambil upah membaiki dan menyelenggara peti ais.

Pada awalnya, Ahmad Fazril Hazim tersentak dengan kata-kata itu namun diabaikan kerana baginya apa lebih penting dia melakukan kerja yang halal.

Bermula dengan mengambil upah membaiki peti ais di rumah pelanggan, Ahmad Fazril Hazim membuktikan dia mampu ‘cari makan’ dalam kerja yang dilakukan kerana kini sudah membuka premis merangkumi pejabat dan bengkel di Seri Manjung, Perak dan meraih keuntungan hingga mencecah lima angka sebulan hasil perkhidmatan ditawarkan.

Berkongsi kisahnya, Ahmad Fazril Hazim atau dikenali Abang Peti Ais di media sosial berkata, dia sebenarnya tidak tiada kemahiran itu (membaiki peti ais) namun mengambil inisiatif belajar kemahiran itu pada 2018 selepas melihat ia peluang terbaik untuk menjana pendapatan.

Berikutan itu, Ahmad Fazril Hazim yang memiliki Sijil Elektrik Kemahiran Kolej lulusan Kolej Komuniti Chenderoh, Perak menuntut ilmu dengan seorang pemilik bengkel membaiki peti ais di sini dan mahir dalam tempoh seminggu saja.

“Bapa saya pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan buat kerja baiki kapal selepas tamat perkhidmatan jadi sejak Tingkatan Tiga hingga Lima, saya selalu ikut dia.

“Daripada situ, saya belajar mengenai peralatan dan kerja kemahiran. Sewaktu di kolej, saya banyak diajar mengenai kaedah penyelenggaraan penghawa dingin.

“Tapi selepas tamat latihan industri, saya nampak potensi dalam kerja baik pulih peti ais dan mesin basuh sebab waktu itu orang yang pandai baiki tak ramai. Jadi saya cuba cari tempat belajar iaitu di sini dengan dikenakan bayaran RM1,500 dengan sebahagiannya dibantu ayah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di bengkel terletak dekat Taman Kajang Utama, di sini.

Menurut Ahmad Fazril Hazim, pada awalnya, ibu, Zuraini Yusoff Ayuddin dan bapa, Ahmad Faizol Osman yang kedua-duanya berumur 61 tahun tidak menyokong pilihannya kerana mahu dia bekerja dalam bidang profesional.

Bagaimanapun, minat mendorong Ahmad Fazril Hazim teruskan apa yang dilakukan kerana dia juga sedar dengan kemampuan dirinya.

“Sekarang emak dengan ayah sudah terima… saya tak salahkan mereka kerana sebagai ibu bapa, mereka tentunya mahu anak jadi yang terbaik.

“Cuma saya akui ada cabaran pada peringkat awal dulu kerana tak ada kemampuan dalam hal pemasaran. Lagipun, kosnya pun mahal.

“Jadi saya cuba masuk dalam laman sosial komuniti setempat dan buat hantaran secara santai dengan gelar diri tok bomoh yang boleh merawat peti ais meracau dan doktor peti ais. Terbaru, saya guna nama Abang Peti Ais dalam perkongsian terbaru di Threads dan dapat perhatian,” katanya.

Ahmad Fazril Hazim mengakui banyak pengalaman ditimba sejak bekerja dalam bidang itu termasuk dimarahi pelanggan akibat kerosakan berulang dan kerugian hingga ratusan ribu ringgit akibat berurusan dengan individu tidak jujur.

Bagaimanapun, Ahmad Fazril Hazim bersyukur kerana turut mendapat tawaran kerja penyelenggaraan daripada syarikat besar dan kepercayaan beberapa pusat pengajian yang mengundangnya sebagai tenaga pengajar untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penuntut.

“Saya dapat peluang mengajar di kolej komuniti dan bulan lalu sampai sekarang, saya di sini (bengkel) untuk beri tunjuk ajar kepada penuntut yang menjalani latihan industri.

“Seronok dapat kongsi ilmu… terharu juga bila orang panggil sifu dan cikgu cuma mengajar itu hanya 40 peratus kerana selebihnya masih fokus dengan kerja baik pulih serta penyelenggaraan.

“Di media sosial terutama Instagram (IG) pun saya aktif manakala TikTok ada muat naik video jawab persoalan pengikut mengenai peti ais dan mesin basuh,” katanya.

Berkongsi hala tujunya, Ahmad Fazril Hazim bercadang meluaskan lagi perkhidmatan dengan membuka pejabat dan bengkel di Lembah Klang.

“Buat masa ini, saya ada tiga pekerja di Perak yang kesemuanya juruteknik dan bantu pergi rumah pelanggan.

“Kalau boleh nak ada cawangan di Kuala Lumpur atau Selangor dengan struktur lengkap ada kerani dan akauntan sendiri.

“Mudah-mudahan hasrat saya tercapai dan untuk anak muda di luar sana yang berminat ceburi bidang sama, teruskan saja. Ia kerana setiap rumah ada mesin basuh dan peti ais, apa yang berfungsi akan rosak jadi di situ ada peluang untuk buat duit dengan kemahiran kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top