syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam: “Dalam hidup ini, bila kita ikhlas, Allah reda dengan keikhlasan kita.”
Demikian kata pelakon dan pengacara, Raja Azura, 53, ketika ditanya reaksinya selepas ramai memuji ketabahannya membesarkan tiga anak sebagai ibu tunggal.
Raja Azura yang mesra disapa dengan panggilan Kak Engku berkata, keikhlasan itu juga terhubung dalam banyak aspek dan jangan mengaibkan pasangan walaupun selepas berpisah.
“Tapi, sejauh mana keikhlasan itu? Keikhlasan bukan sahaja jaga anak-anak, tapi keikhlasan dalam bekerja, keikhlasan dalam mengharungi pengorbanan kita sebagai ibu bapa dan suami isteri.
“Yang paling penting, jangan membenci pasangan kita. Walaupun apa yang berlaku kepada kita, kita buang jauh-jauh. Kita benda-benda yang negatif, ambil yang positif sahaja dan jangan membuka aib,” katanya kepada Harian Metro.
Raja Azura juga memberikan nasihat kepada mereka yang ingin berumah tangga dengan artis, yang mana harus menerima hakikat bahawa artis dan selebriti adalah hak masyarakat.
“Jadi, kepada sesiapa juga yang nak berkahwin dengan artis, kena faham. Mereka kena tahu diri artis itu sebab dia adalah kepunyaan peminat.
“Jadi, jangan cakap kenapa nak hebohkan atau apa. Tak ada. Kita tak boleh elak benda-benda itu. Cuma, bagaimana penerimaan kita dan kena positif,” katanya.
Ditanya mengenai caranya menangani anak-anak sejak bergelar ibu tunggal 15 tahun lalu, Raja Azura berkongsi tip yang dilakukannya.
“Pertama sekali, kena taat kepada Allah SWT. Kedua, rapatkan diri dengan anak-anak. Jadikan anak-anak itu sebagai kawan baik, sebagai rakan kita dan selalunya mendekati anak-anak walau sesibuk manapun. Selalu dengar luahan mereka.
“Jangan guna kuasa veto sebagai seorang ibu. Kuasa veto itu akan dikeluarkan apabila ada saat genting sahaja. Yang lain, kita beri mereka peluang dan ruang.
“Cuma, sebagai ibu, kita pantau supaya mereka berada di landasan yang betul,” katanya.
Raja Azura hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini untuk memfailkan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman berkaitan nafkah.
Raja Azura dan Adzmin berumah tangga pada Mac 2001 sebelum disahkan bercerai pada 2010.
Perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu, Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22, dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20.
© New Straits Times Press (M) Bhd




