mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero menegaskan dia akan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali dipanggil menggalas cabaran bersama skuad negara.
Palmero, yang beraksi bersama kelab Unionistas de Salamanca di Sepanyol, berkongsi pengalamannya ketika menyertai kem skuad kebangsaan bagi kalendar antarabangsa baru-baru ini.
Menurutnya, setiap kali berada di Malaysia, dia sentiasa dapat merasai pengalaman berbeza dan momen bermakna yang menambahkan lagi ikatan bersama pasukan kebangsaan.
Berikutan itu, pemain berusia 23 tahun berkenaan menganggap menyarung jersi Harimau Malaya sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.
“Sekali lagi (bila) berada di negara yang istimewa ini, ia memberi saya pengalaman dan memori yang mengagumkan.
“Sudah tentu, ia satu penghormatan dan saya lakukan yang terbaik untuk panji ini. Semua untuk Harimau Malaya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Sejak membuat penampilan sulung, Palmero kini sudah merekodkan empat kaps bersama skuad negara termasuk dua aksi menentang Singapura dan Palestin baru-baru ini.
Pengalaman beraksi di pentas antarabangsa nyata menjadi suntikan semangat buat Palmero yang kini terus bekerja keras bersama kelabnya di Liga Sepanyol.
Mengikut rekod, Unionistas dijadual menentang Guadalajara dalam aksi liga pada 15 September ini dan Palmero dijangka menjadi antara sandaran pasukan dalam misi meraih kemenangan.
Bagi penyokong Harimau Malaya, keberadaan Palmero dalam skuad negara dilihat sebagai nilai tambah penting, malah komitmen yang ditunjukkan pemain muda itu jelas membuktikan cintanya terhadap Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




