am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cadangan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan disifatkan dangkal, tanpa usul periksa yang jelas.
Siswa BERSATU Malaysia iaitu sayap mahasiswa di bawah parti BERSATU menegaskan mana-mana pihak termasuk UMANY tidak sepatutnya mempolemikkan isu kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan cadangan yang semberono, sebaliknya membincangkannya secara kritis dan matang.
Presidennya, Ameer Hazeem Mohd Zaky, berkata kenyataan UMANY bahawa ada kaedah atau sistem kuota digunakan bagi kemasukan pelajar ke universiti tidak lagi boleh diguna pakai dengan mengambil kira sistem sedia ada menggunakan sistem meritokrasi yang diamalkan sejak 2002.
Katanya, hal ini sepatutnya disedari UMANY, lebih-lebih lagi wakil yang mengeluarkan kenyataan media mereka kerana individu berkenaan lepasan Matrikulasi Pulau Pinang.
“Siswa BERSATU mengambil berat isu ini rentetan daripada seorang pelajar STPM yang gagal untuk memasuki alma meter impiannya.
“Namun perkara ini harus dilihat dari sudut objektif iaitu meritokrasi memainkan peranan penting kepada kemasukan pelajar. Ini mengambil kira pencapaian akademik dan pembabitan kokurikulum secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ameer Hazeem berkata, Siswa BERSATU turut bersedia untuk terbabit dalam perbincangan dengan semua pihak demi kebaikan mahasiswa di negara ini.
Terdahulu, dilaporkan Presiden UMANY, Tang Yi Ze menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan sebagai piawaian tunggal bagi kemasukan jurusan ijazah di universiti awam (UA).
Bagaimanapun perkara itu menerima bantahan banyak pihak antaranya Naib Canselor Universiti Malaya (UM),Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman yang menyifatkan program matrikulasi negara adalah sistem pendidikan yang menyeluruh, yang terbukti berperanan dalam menyediakan akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




