AIM 24: Ringkas, Menyerlah & Elegan… Fesyen Minimalis Jadi Pilihan Selebriti Di Karpet Merah

AIM 24: Ringkas, Menyerlah & Elegan… Fesyen Minimalis Jadi Pilihan Selebriti Di Karpet Merah

Fesyen para selebriti pastinya menjadi tumpuan utama tiap kali acara anugerah berlangsung.

Mengangkat tema Kemuncak Segala-Galanya, Anugerah Industri Muzik Malaysia ke-24 (AIM 24) memperlihatkan barisan artis kali ini tampil anggun dengan pemilihan busana yang lebih minimalis.

Jom kita semak gaya artis kesayangan anda di Karpet Merah AIM 24!

1. Ara Johari

Memilih busana sedikit ringkas namun tampak bersesuaian dengan karakternya yang ‘cool’, pelantun lagu popular, Menjaga Jodoh Orang Lain, Ara Johari tampil dengan busana lace berona putih rekaan Khairi Sufi yang dipadankan dengan ikatan ‘ribbon’ dibahagian belakang sebagai pelengkap gaya.

 

2. Daiyan Trisha

Selain Ara, pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha juga tidak ketinggalan memilih gaya minimalis namun tetap memukau apabila gaun berona nude/coklat itu direka dengan bahagian tengah digayakan dengan potongan terbelah seakan-akan kipas.

Manakala, bahagian belakang pula, gaun Daiyan dihiasi dengan jahitan ‘butterflies’ berona silver sebagai simbolik rekaan tersebut.

 

3. Marsha Milan

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), Marsha Milan Londoh tampil ‘seimbang’ dengan gaya minimalisnya apabila memilih dandanan ringkas yang diserikan dengan gincu berona merah  gelap, pewarna kuku berona sama dan gaun hijau yang padankan bersama rantai berlian sekali gus menaikkan seri dan aura anak kelahiran Sabah ini.

4. Dolla

Seakan membawa tema filem Hollywood, Red Riding Hood, kumpulan wanita popular, Dolla hadir di karpet merah dengan gaun berona merah.

Meskipun hanya hadir berdua tanpa seorang lagi rakan mereka, Sabronzo, Tabby mencuri perhatian segelintir peminat yang hadir  apabila  memakai gaun yang mempunyai hoodie. Manakala, Angel pula tampil dengan dress merah dan jaket berbulu.

5. Aina Abdul

Seperti kemunculannya di Anugerah Bintang Popular ke-36, Aina Abdul sekali lagi tampil dengan pakaian yang lebih sederhana apabila hadir ke AIM 24.

Penampilan Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, mendapat sentuhan pereka fesyen Isyrafarysi yang mengetengahkan baju korset berwarna hitam putih.

Namun, gaun yang direka seakan-akan kemeja dengan tali leher itu menaikkan lagi seri Aina apabila gaun berkenaan dipadankan dengan pewarna bibir merah gelap.

6. Datuk Seri Rossa

Seperti Aina, penyanyi popular Indonesia, Datuk Seri Rossa juga tampil dengan gaun ringkas berwarna hitam yang dipadankan dengan rantai dan anting-anting berlian menyerlahkan lagi gaya minimalis penyanyi itu.

Rossa hadir di acara malam AIM 24 ini apabila dua lagu miliknya dicalonkan dalam Kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara.

Untuk info, malam kemuncak AIM 24 memperlihatkan sejumlah 30 kategori secara keseluruhan akan dipertandingkan dengan 11 pemenang daripadanya akan menerima ganjaran berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Pemenang kategori ‘Album Terbaik’ akan menerima dana sebanyak RM200,000 manakala kategori ‘Artis Baru Terbaik’, ‘Lagu Etnik Terbaik’, ‘Lagu Nasyid Terbaik’, ‘Lagu Tradisional Terbaik’, ‘Lagu Perpaduan Terbaik’, ‘Lagu Inggeris Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’, ’Lagu India Tempatan Terbaik’, ‘Lagu Terbaik’ dan ‘Video Muzik Terbaik’ akan menerima dana berjumlah RM50,000 setiap satu.

Scroll to Top