Qabil menang bergaya di Litar Estoril

Qabil menang bergaya di Litar Estoril

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan menampilkan penguasaan mutlak apabila menjuarai Perlumbaan 1 ESBK Talent Pusingan Keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 di Litar Estoril, Portugal, hari ini.

Lebih menakjubkan, pelumba kelahiran Terengganu itu melepasi garisan penamat dengan penuh bergaya, meninggalkan pencabar terdekatnya, Enzo Zaragoza dari Sepanyol dengan kelebihan jurang 14.176 saat.

Beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly, Qabil mengawal perlumbaan dari awal hingga akhir, manakala Zaragoza yang mewakili Aspar KSB Technical Academy terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia yang beraksi bersama pasukan IGAXTEAM Snipers, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Kemenangan turut menyaksikan pelumba berusia 13 tahun itu mengukuhkan lagi kedudukannya selaku pendahulu carta kejuaraan, sekali gus membuka peluang cerah untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan lebih awal.

Ketika ini, Qabil selesa mendahului dengan kelebihan 44 mata di hadapan pencabar utamanya dari Switzerland, Arnold Alessio yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Jika dia boleh meningkatkan jurang mata itu kepada lebih 50 mata selepas Perlumbaan 2 esok, gelaran juara akan sah menjadi miliknya sebelum saingan ESBK Talent melabuhkan tirainya di Jerez, Sepanyol pada November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top