sukan@hmetro.com.my
Alor Setar: Skuad Kedah FA berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 1-0 pada aksi saingan Liga A1 Semi Pro di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Kemenangan ini juga adalah yang pertama buat skuad Lang Merah musim ini selepas sekadar seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan lalu ketika bertemu Perlis GSA dan Perak FA.
Pada aksi ini, tiada jaringan gol oleh kedua-dua pasukan direkodkan sepanjang babak pertama dengan Kedah FA memilki beberapa peluang yang gagal disempurnakan oleh barisan jentera serangan Aiman Afif, pemain import Azeez Adam dan Asnan Ahmad.
Namun percaturan ketua jurulatih, Victor Andrag yang memasukkan pemain lincah, Nabil Latpi di bahagian serangan pada babak kedua membuahkan hasil apabila beliau mencetak gol pertama skuad Lang Merah pada minit ke-79.
KRW cuba merapatkan jaringan menerusi asakan pemain tengah, Faiz Nasir dan kemasukan antaranya Norshahrul Idlan Talaha, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang dan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




