Kehadiran penyanyi muda, Putri Dahlia di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 semalam mencuri tumpuan ramai apabila dia tampil dengan imej baharu tanpa tudung buat kali pertama di khalayak.
Anak kepada penyanyi tersohor, Datuk Nora Ariffin itu mengakui, keputusan membuka hijab bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil daripada proses panjang mencari diri dan makna sebenar dalam kehidupan serta agama.
“Saya mula bertudung sejak usia enam tahun, tapi dalam tempoh itu saya sedar saya hanya ikut orang dan tak pernah benar-benar belajar agama sendiri. Saya pakai tudung, tapi hati saya kosong. Sekarang saya nak mulakan sesuatu yang baharu, saya nak cari jalan sendiri untuk lebih dekat dengan Allah SWT,” katanya.
Malah, Putri yang kini mahu dikenali hanya dengan nama Dahlia merasakan imej lama terlalu sinonim dengan label tertentu yang tidak lagi mewakili dirinya.
“Nama Putri Dahlia netizen selalu anggap sebagai ikon ‘islamik’… Sekarang, saya nak dikenali sebagai Dahlia sahaja. Saya nak jadi diri sendiri, bukan bayangan yang orang cipta untuk saya,” ujarnya.
Menurut Dahlia, keputusannya itu bukan untuk mencetuskan kontroversi atau melawan pandangan masyarakat, sebaliknya kerana mahu jujur dengan dirinya sendiri.
“Buka atau pakai tudung, keyakinan saya tetap sama. Tapi bila saya bertudung, saya rasa lebih terdedah kepada kecaman. Netizen akan cari salah walaupun kita dah tutup sepenuhnya, ‘dah pakai tudung ke dada, tapi persoal ‘handsock’.
“Jadi saya pilih untuk fokus kepada hubungan saya dengan Allah, bukan kepada komen-komen orang luar,” tegasnya.
Pelantun lagu Old Love itu berkata, dia sudah terbiasa dengan kecaman sejak kecil lagi, namun kali ini memilih untuk tidak lagi membaca komen negatif demi menjaga kesihatan mental.
“Kalau ada yang nak kecam, silakan. Itu hak mereka. Tapi pada saya, keputusan ini hanya antara saya dengan Allah. Saya buat bukan untuk rebel, bukan juga untuk cipta sensasi. Saya buat sebab saya benar-benar rasa hilang diri sendiri dan saya perlukan ruang untuk kenal siapa saya yang sebenar,” jelasnya.

Menyentuh soal keluarga, Dahlia bersyukur kerana ibunya dan ahli keluarga yang lain tetap berdiri di belakangnya.
“Mak kata yang penting kita jadi orang baik. Arwah ayah pun selalu pesan, yang menjadikan seseorang itu baik adalah hatinya, bukan pakaian semata-mata. Jadi keluarga langsung tak ada masalah. Mereka cakap, asalkan saya bahagia dan solat terjaga, itu yang penting,” katanya.
Dahlia menambah, keputusan ini juga didorong keinginannya untuk lebih fokus kepada muzik dan kerjaya seni, termasuk cita-cita untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya nak orang kenal saya kerana karya, bukan kontroversi. Orang boleh bercakap apa saja, tapi saya tahu ke mana arah tuju saya. Inilah langkah pertama untuk jadi diri sendiri,” katanya.




