Cuba Teka: REAL Ke AI? Kempen REV Media Group Dedah Betapa Sukar Bezakan Yang Asli Dengan Janaan Teknologi

Cuba Teka: REAL Ke AI? Kempen REV Media Group Dedah Betapa Sukar Bezakan Yang Asli Dengan Janaan Teknologi

Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin canggih hingga sukar untuk membezakan mana yang asli dan mana yang dihasilkan mesin. Menyedari cabaran ini, REV Media Group tampil dengan kempen interaktif “REAL ke AI?” yang mengajak rakyat Malaysia menilai sendiri ketajaman mata dan telinga mereka.

Kempen ini hadir dengan pelbagai cabaran unik. Dalam pusingan pertama, orang ramai diminta meneka siapa penyamar dalam kumpulan empat individu yang kelihatan biasa, namun salah seorang sebenarnya dicipta oleh AI. Ramai meneka watak Fanyi, Pakar Strategi Media Sosial, kerana wajahnya tampak “terlalu sempurna.”

Cabaran seterusnya pula berbentuk infografik interaktif yang menguji minda: bolehkah anda membezakan kandungan yang dilabel AI, wajah yang ditukar, atau suara sebenar berbanding tiruan? Semuanya menguji sejauh mana deria pengguna diasah dalam dunia digital masa kini.

Lebih mencabar, kempen ini juga menampilkan senario panggilan palsu. Dalam video yang dikongsikan, watak Taro menerima panggilan daripada rakannya, Sha, yang meminta wang. Namun suara itu sebenarnya dijana AI. Penonton diajak berfikir: adakah mereka akan terus memindahkan wang, membuat panggilan semula, atau mengabaikannya?

REV Media turut menyelitkan elemen humor dengan memaparkan foto perarakan Hari Kebangsaan yang meriah, termasuk kelibat seorang “doktor sado” dan seekor kucing oren raksasa yang berbaris bersama unit K9. Namun mesejnya jelas, tidak semua yang tular di media sosial adalah benar.

Menurut REV Media Group, “REAL ke AI?” bukan sekadar hiburan, tetapi usaha mendidik masyarakat agar lebih berwaspada, sentiasa menyemak fakta sebelum berkongsi, dan menggunakan teknologi dengan bertanggungjawab.

Kempen ini boleh diikuti menerusi akaun Instagram @revmedia.my, selain turut dipaparkan di platform popular seperti @saysdotcom, @rojaklah, dan @ohbulanofficial.

#REALkeAI #FactCheckBeforeYouAct

Scroll to Top