am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Demi mendapatkan sentuhan jurusolek pilihannya, seorang pengantin perempuan sanggup ke hospital dengan memakai busana pengantin sehingga mencuri tumpuan ramai apabila kisahnya tular di media sosial.
Che Yuss Auni Ahmad Zaidi, 22, berkata dia dan pasangannya, Mohammad Alif Ezaham Mat Lin, 27, dari Kampung Jerong Tuan, Marang, diijabkabulkan pada April tahun lalu, tetapi majlis persandingan hanya dilangsungkan semalam.
Wanita berasal dari Besut ini yang kini hamil lapan bulan itu, memaklumkan selepas mereka dinikahkan, dia terus menyertai kursus di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang menyebabkan majlis persandingan ditangguhkan.
Katanya, sejak tahun lalu ketika merancang hari bahagianya, dia sudah menempah jurusolek popular Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 27, atau lebih dikenali sebagai Cikna, yang juga pempengaruh dan usahawan dari Marang.
“Bagaimanapun, saya hampir membatalkan persandingan apabila Cikna dimasukkan ke hospital selepas disahkan menghidap Influenza A sejak Khamis lalu.
“Sejak awal lagi saya maklumkan kepada keluarga, jika tidak mendapat sentuhan jurusolek yang dihajati, saya tidak mahu bersanding,” katanya ketika dihubungi.
Namun, katanya nasib berubah apabila Cikna yang beransur pulih akhirnya bersetuju menunaikan permintaannya meskipun terpaksa melakukan solekan di wad hospital.
“Kira-kira jam 6.30 pagi saya sudah sampai di hospital dengan memakai baju pengantin hingga mengundang pandangan pelik orang sekeliling.
“Tapi saya tidak endah, asalkan mendapat solekan seperti yang saya idamkan,” katanya yang kini bertugas di Johor Bahru bersama suami.
Menurutnya, sepanjang tempoh kehamilan dia tidak mampu mengenakan sebarang solekan kerana alahan, namun kali ini berbeza kerana terlalu mengidamkan sentuhan jurusolek pilihannya.
Sementara itu, Cikna berkata, pada mulanya dia memutuskan untuk membatalkan semua tempahan solekan kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Semua pengantin lain boleh terima dengan tenang kecuali Che Yuss. Pada awalnya saya hendak marah, tetapi selepas dengar cerita sebenar, saya faham dan ikhlas mahu tolong.
“Malah ketika saya sedang menyolek, doktor yang datang membuat pemeriksaan kesihatan turut terkejut melihat pengantin di dalam wad,” katanya.
Katanya, sebelum ini dia pernah berdepan situasi pelik termasuk menghias pengantin di tengah padang dan hanya berbekalkan lampu kereta ketika gangguan elektrik, namun pengalaman kali ini adalah yang paling luar biasa.
Kisah itu turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur dengan kesetiaan pengantin berkenaan yang sanggup menunggu jurusolek pilihannya dalam apa juga keadaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




