'Saya tak bersalah' – Bapa budak perempuan maut tertinggal dalam kereta

'Saya tak bersalah' – Bapa budak perempuan maut tertinggal dalam kereta

Dimona (Israel): Seorang bapa yang anak perempuannya maut selepas ditinggalkan di dalam kereta mencetuskan kemarahan umum di Israel apabila enggan bertanggungjawab atas tragedi itu, lapor JFeed.

Dalam kejadian pada 5 September lalu, anak perempuan Nissim Bouaron, Chaya Mushka, meninggal dunia selepas ditinggalkan di dalam kenderaan selama lebih tiga jam akibat kecuaian bapanya.

Menerusi satu hantaran di media sosial pada 7 September lalu, Bouaron menyifatkan insiden itu sebagai satu kesilapan mudah dan bukannya kecuaian yang teruk.

“Saya sentiasa memeriksa kereta tetapi kali ini, selama tiga jam atau lebih, ia terlepas daripada fikiran saya.

“Sebahagian daripada fikiran kami kosong seketika,” tulisnya.

Bouaron turut menjawab kritikan orang ramai dengan kenyataan provokatif, “Sayalah bapa yang terlupa anak perempuannya di dalam kereta.”

Dalam hantaran sama, dia cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak lain termasuk ahli politik dan media sambil menyeru masyarakat untuk saling menyayangi.

Dia kemudiannya secara terang-terangan menolak untuk dipersalahkan. “Pada hari Jumaat, saya kehilangan Chaya Mushka dan saya tidak bersalah!

“Marahlah jika anda mahu, saya tidak malu untuk mengatakan saya tidak patut dipersalahkan,” katanya.

Katanya, dia akan terus menjalani kehidupan seperti biasa walaupun kehilangan anak dan tidak akan hidup dengan rasa bersalah seperti orang lain.

Sikapnya yang dilihat sebagai penafian akauntabiliti yang keterlaluan mengundang kritikan hebat daripada orang ramai yang menganggap dia memperkecilkan kecuaiannya.

Kes itu kini hangat diperdebatkan di seluruh negara mengenai tahap tanggungjawab sebenar ibu bapa dan akibat buruk daripada kecuaian sedemikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top