Pelakon Anzalna Nasir meminta netizen agar tidak mencipta drama susulan kehadirannya sebagai pembawa dulang hantaran dalam majlis pasangan Fattah Amin dan Amira Othman malam tadi.
Menerusi perkongsian di Instagram, Anzalna berkata dia menghormati bekas isteri Fattah iaitu Nur Fazura dan Amira Othman serta menyifatkan kedua-duanya wanita hebat.
BACA: Fattah Amin, Amira Othman Sah Bergelar Suami Isteri
Menurut Anzalna lagi, kedua-duanya ada keistimewaan masing-masing serta dia bersyukur kerana berkawan dengan Fazura dan Amira.
“Saya hormati kedua-duanya, Fazura dan Amira. Mereka ada keistimewaan masing-masing serta wanita hebat.
“Saya amat bersyukur dapat menjadi sahabat kedua-duanya. Jujur, tiada apa yang saya harap melainkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam satu perkongsian lain Anzalna berkata dia dan Amira sudah lama berkawan namun tidak pernah berkongsikan di media sosial.
“Hubungan bertambah rapat apabila kami dilantik sebagai duta Jakel. Ketika Amira mengundang saya sebagai gadis dulang, saya segan hendak terima kerana mereka yang lain muda dan cantik, sedangkan saya sudah tua. Tetapi, Amira rakan yang baik hati. Jadi, susah untuk saya tolak,” katanya.




