am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: “Sehari sebelum kejadian, ibu minta saya edit gambar dia bersama enam adik-beradik… rupanya itu permintaan terakhirnya.”
Itu luahan pilu Khamarul Izwan Abdul Halid, 19, yang kehilangan ibu, bapa, kakak serta empat anak saudaranya dalam tragedi tanah runtuh di kawasan setinggan dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, pagi tadi.
Menurut Khamarul Izwan, kelmarin ibunya tiba-tiba meminta dia mengedit gambar lama bersama enam beradiknya, walaupun empat daripadanya sudah meninggal dunia.
“Hanya tinggal tiga yang masih hidup termasuk ibu… saya sangka itu sekadar permintaan biasa. Tak sangka ia menjadi tanda pemergiannya,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi kejadian.
Khamarul Izwan berkata, kali terakhir dia menerima pesanan WhatsApp ibunya adalah pada jam 9.14 pagi, mengingatkan supaya berhati-hati ketika banjir.
“Saya balas mesej itu, tapi hanya tanda biru muncul. Tiada jawapan… dan saya tidak sangka itu perbualan terakhir kami,” katanya.
Menurutnya, dia menerima panggilan sepupu memaklumkan rumah keluarganya ranap ditimbus tanah runtuh.
“Saya bersama adik yang terselamat bergegas pulang, bantu menggali timbunan tanah bersama jiran sebelum pasukan penyelamat tiba. Sekitar jam 12.30 tengah hari ibu ditemukan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa ialah dua beranak, masing-masing ibu, Maslina Abdul Halid, 29, yang ditemui pada jam 3.40 petang dan anaknya, Mohd Noriman Abdullah, 9, ditemui pada jam 3.20 petang, sekali gus melengkapkan jumlah tujuh mangsa sekeluarga yang dikhuatiri tertimbus, petang tadi.
Sebelum itu, lima lagi mangsa ditemui antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.20 petang hasil pencarian yang membabitkan pelbagai agensi.
Mangsa pertama dikenali sebagai Husaima Sarabani, 50, ditemui pada jam 12.30 tengah hari, manakala empat lagi ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada sebelah petang.
Empat mangsa berkenaan ialah dua beradik, Mohd Ilham Abdullah, 2, dan Siti Khadijah Abdullah, 4, selain sepupu mereka, Mohd Izzan Gandi, 7, serta datuk mereka, Abdul Halid Darak, 50.
© New Straits Times Press (M) Bhd




