REALITI pahit yang mungkin bakal ditelan sebahagian besar rakyat Malaysia ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis dalam tempoh lima tahun selepas bersara.
Lebih membimbangkan, ramai terpaksa kembali bekerja pada usia senja, bukan atas kehendak, sebaliknya kerana terdesak menampung kos sara hidup.
Penganalisis Kanan Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR), Nadhirah Ibrahim berkata, situasi berkenaan bukan rekaan, malah ia adalah cerminan kisah ribuan pesara di negara ini.
“Kajian yang dijalankan KWSP mendapati, sebahagian besar pesara menghabiskan simpanan mereka dalam masa singkat, memaksa mereka mencari jalan untuk terus bertahan.
“Ia diterjemahkan dalam watak Amy, watak dalam laporan ICMR, institusi di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertajuk ‘Building Financial Security 2025’.
“Walaupun watak ini hanya rekaan, namun perjalanan hidupnya adalah realiti yang dihadapi ramai pesara terutamanya golongan berpendapatan sederhana,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan laporan itu, Amy, seorang yang rajin bekerja dan yakin simpanan KWSP dimilikinya mencukupi, terkejut apabila duitnya habis dalam tempoh beberapa tahun saja selepas membuat pengeluaran sekali gus pada usia 55 tahun yang menyebabkan dia terpaksa kembali bekerja untuk menyara hidup.
Nadhirah berkata, kisah Amy mencabar tanggapan bahawa perancangan kewangan boleh dipukul sama rata untuk semua orang.
“Realitinya, tidak ada dua manusia yang sama keadaannya. Jika polisi dan sistem kewangan mahu benar-benar bermatlamat meningkatkan kesejahteraan pesara, ia perlu mengambil kira kepelbagaian perjalanan hidup dan keadaan kewangan individu pada setiap peringkat usia,” katanya.
Melihat kepada cabaran ini, laporan ICMR mencadangkan kaedah dua peringkat, iaitu ASAS (asas) dan RISE (tingkatkan), bagi persediaan persaraan yang lebih efektif yang menekankan penggunaan sokongan yang praktikal dan mudah dicapai.
ASAS berfungsi sebagai lapisan dasar yang menggunakan instrumen kewangan selamat, murah, dan mudah diurus seperti caruman KWSP atau i-Saraan yang menjadi perlindungan utama tanpa mengira saiz pendapatan.
“Tanpa mengira pendapatan besar atau kecil, setiap individu memerlukan asas ini untuk perlindungan diri. Apabila pendapatan meningkat, barulah ada ruang untuk menambah baik pilihan pelaburan.
“Pada tahap ini, individu boleh mula meneroka opsyen pelaburan seperti unit amanah, Dana Dagangan Pertukaran (ETF), atau pilihan lain sebelum beralih ke pelaburan lebih kompleks (RISE).
“Paling penting mula secara kecil-kecilan, bina tabiat baik, dan jauhi skim ‘cepat kaya’,” katanya.
Menurutnya, adalah penting untuk membina dana asas dan kecemasan terlebih dahulu sebelum beralih kepada pelaburan yang lebih kompleks.
“Uji daya tahan pelan persaraan anda dengan soalan mudah: ‘Cukupkah simpanan saya untuk 20–30 tahun selepas bersara? Bagaimana jika berlaku kecemasan kesihatan atau keluarga?,” katanya.
Nadhirah berkata, kisah Amy harus menjadi teladan untuk mula menabung awal, dan kerana inilah dana asas dan kecemasan (ASAS) perlu dibina terlebih dahulu sebelum beralih kepada pelaburan lebih kompleks (RISE).
“Jika cara merancang dan menyimpan tidak diubah, ramai mungkin akan menjadi pesara yang terpaksa kembali bekerja.
“Gunakan kemudahan sedia ada seperti i-Akaun KWSP, caruman sukarela, potongan automatik tabung dari bank dan peraturan menyimpan yang mudah untuk mengurangkan kebimbangan berkaitan persaraan.
“Persaraan bukan garisan penamat, sebaliknya satu fasa kehidupan yang perlu dilalui dengan keyakinan, bukan kebimbangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




