'Rumah bergerak… kayu jatuh timpa tubuh saya'

'Rumah bergerak… kayu jatuh timpa tubuh saya'

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: “Saya hanya mampu lihat rumah bergerak dan runtuh… kayu jatuh menimpa tubuh saya.” Itu detik cemas diceritakan Fazrul Ikwan Abdul Halid, 15, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Cenderakasih, Kolombong, di sini, pagi tadi.

Kejadian itu meragut nyawa ibu bapanya, Husaima Sarabani dan Abdul Halid Darak lingkungan usia 50-an serta kakaknya, Maslina Abdul Halid, 29.

Turut terkorban empat anak saudaranya iaitu Mohd Noriman Abdullah, 9; Mohd Ilham Abdullah, 2, Siti Khadijah Abdullah, Abdullah dan Mohd Izzan Gandi, 7.

Menurut Fazrul Ikwan, ketika kejadian dia sedang tidur dalam bilik bersama dua rakan sebelum merasakan rumah mereka tiba-tiba ‘menggelongsor’.

“Saya dan kawan dihempap kayu, tetapi beberapa minit kemudian kami berjaya keluar. Saya cedera di kaki dan kepala.

“Kawan saya juga cedera di kaki. Kami terus cari sepupu untuk minta tolong gali tanah kerana keluarga masih tertimbus,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kali terakhir dia bercakap dengan ibunya pada 10 malam Ahad ketika wanita itu menasihatinya supaya tidak keluar rumah kerana banjir.

“Itulah pesanan terakhir arwah ibu. Saya langsung tidak menyangka ia perbualan terakhir saya dengannya,” katanya sayu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top