Niihama: Siri kes kucing jalanan yang kehilangan satu kaki atau kudung mencetuskan kebimbangan penduduk di Niihama, Jepun.
Menurut The Mainichi, sejak Julai tahun lalu, kira-kira 10 ekor kucing ditemui dengan kaki terputus secara misteri sekali gus membawa kepada siasatan pihak berkuasa.
Media melaporkan, kes terbaharu berlaku bulan lalu di daerah Hagiu dan polis kini menjalankan siasatan rasmi berhubung kejadian itu.
Menurut polis, kes berkenaan kemungkinan berpunca daripada penderaan haiwan atau penggunaan perangkap haram, namun punca sebenar masih menjadi misteri.
Dalam pada itu, difahamkan juga, kes pertama dilaporkan pada Julai 2024 apabila seekor kucing jalanan ditemui melompat dengan salah satu kaki depannya hilang.
Kucing itu kemudian dibawa ke hospital haiwan dan kaki yang cedera terpaksa dipotong.
Pada bulan berikutnya, media turut melaporkan lebih banyak kucing dengan kecederaan serupa ditemui di kawasan sama.
Pakar veterinar yang bertanggungjawab mengakui, kecederaan yang dialami kucing itu terlalu kemas untuk dikaitkan dengan perangkap biasa.
Menurut pihak berkuasa, mereka juga hairan bagaimana kucing berkenaan masih mampu hidup meskipun sudah kehilangan banyak darah.
“Agak menghairankan mereka masih hidup dengan kecederaan yang begitu teruk. Banyak persoalan timbul dan puncanya masih tidak jelas,” katanya.
Sementara itu, persatuan pemburu tempatan menafikan memasang perangkap babi hutan atau rusa di kawasan berkenaan.
Kes yang berlarutan lebih setahun itu kini terus menjadi misteri dan menimbulkan kebimbangan penduduk Niihama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




