Australia Haramkan Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun

Australia Haramkan Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun

Kerajaan Australia mengumumkan bahawa syarikat media sosial akan diwajibkan mengesan dan menutup akaun kanak-kanak bawah umur 16 tahun apabila larangan penggunaan media sosial oleh golongan ini berkuat kuasa pada 10 Disember nanti.

Panduan rasmi yang dikeluarkan kerajaan menyatakan bahawa syarikat media sosial perlu memberi tumpuan kepada usaha mengesan serta memadam akaun sedia ada milik kanak-kanak di bawah umur, selain mengambil langkah bagi menghalang mereka daripada membuka akaun baharu dengan segera selepas akaun lama ditutup.

Walau bagaimanapun, syarikat tidak diwajibkan menyemak umur setiap pengguna atau menggunakan teknologi khusus daripada kerajaan. Mereka hanya perlu menjelaskan secara terbuka bagaimana larangan ini dikuatkuasakan serta menyediakan proses untuk menguruskan sebarang pertikaian.

Undang-undang yang diluluskan Parlimen pada Disember 2024 itu menetapkan syarikat yang gagal mengambil langkah munasabah akan berdepan denda sehingga A$49.5 juta (RM151 juta).

Menteri Komunikasi, Anika Wells, berkata kerajaan tidak menjangka penguatkuasaan ini akan sempurna serta-merta, namun menekankan perlunya perubahan budaya untuk memastikan keselamatan kanak-kanak. Pesuruhjaya eSafety, Julie Inman Grant pula menjelaskan bahawa pihak berkuasa akan menumpukan kepada kegagalan sistemik syarikat dalam melaksanakan polisi dan proses yang diwajibkan.

Pada Ogos lalu, kerajaan turut mendedahkan hasil percubaan yang menunjukkan teknologi pengesahan umur boleh digunakan dengan berkesan bagi memastikan syarat umur dipatuhi.

Sumber: BERNAMA


Scroll to Top