Tahap intensiti lebih santai jadikan pickleball, padel sukan pilihan ramai

Tahap intensiti lebih santai jadikan pickleball, padel sukan pilihan ramai

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Dua sukan raket, pickleball dan padel, mula diperkenalkan di Malaysia pada 2018 semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya penduduk bandar yang gemar mencuba aktiviti riadah baharu.

Pengusaha gelanggang Pickle dan Padel, Adrian Lee berkata, kemudahan sukan terbabit yang dibukanya lima bulan lalu menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia, keluarga serta pemain berpengalaman.

“Pada awalnya saya dan rakan pengusaha, Ian hanya berniat membuka gelanggang untuk bermain sendiri kerana sukar mencari fasiliti ketika itu.

“Namun, sambutan daripada orang ramai amat positif dan mereka menyokong kewujudan pusat ini,” katanya ketika ditemui di gelanggangnya di Seksyen 51, di sini, hari ini.

Menurutnya, keunikan pickleball dan padel ialah ia bersifat sosial, mudah dipelajari dan boleh dimainkan pelbagai peringkat umur.

“Rakyat Malaysia memang suka mencuba benda baharu sama ada makanan atau aktiviti. Sukan ini menyeronokkan, tidak terlalu sukar dan boleh dimainkan bersama rakan.

“Itulah sebab ia cepat menjadi ikutan ramai,” katanya.

Adrian berkata, dia kini memiliki lapan gelanggang dengan pelbagai saiz termasuk empat gelanggang bertaraf kejohanan dan empat sosial bagi memenuhi keperluan latihan serta permainan kompetitif.

Mengulas cabaran, dia berkata, kemunculan semakin banyak gelanggang sejak tahun lalu menuntut pengusaha untuk lebih kreatif bagi mengekalkan minat pemain terus bermain di tempat mereka.

“Antara perancangan kami untuk mengembangkan perniagaan ialah menerusi penganjuran kejohanan, menjalinkan kerjasama dengan persatuan sukan serta membuka lebih banyak cawangan baharu pada masa depan,” katanya.

Adrian optimis kedua-dua sukan ini berpotensi menjadi sukan popular seperti badminton dan futsal memandangkan ia berkembang pesat di seluruh dunia serta berpotensi dipertandingkan dalam pentas kejohanan besar seperti Olimpik dan Sukan SEA.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui di gelanggang terbabit menganggap kedua-dua sukan itu bukan sahaja mudah dikuasai tetapi lebih santai berbanding badminton.

Penny Khoo Keng Hui, 50, berkata, dia bermain pickleball sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

“Pada mulanya saya diperkenalkan oleh seorang rakan yang juga bekas pemain badminton. Dari situ kami bermain bersama sehingga sudah ada kumpulan tetap,” katanya.

Menurutnya, perbezaan paling ketara antara pickleball dan badminton adalah tahap intensiti kedua-dua sukan terbabit.

“Badminton agak meletihkan terutama untuk mereka yang berusia. Pickleball lebih santai serta suasananya pun sosial dan mesra,” katanya.

Dari segi kos pula, Penny berkata, pickleball jauh lebih berpatutan kerana bola boleh tahan lebih lama berbanding bulu tangkis digunakan untuk badminton.

Sementara itu, jurulatih padel, Luqman Hakim Abdul Aziz, 33, pula berkata, padel menawarkan pengalaman berbeza kerana ia menggabungkan elemen tenis dan skuasy menjadikan permainan ini lebih pantas dan mencabar.

“Padel mula masuk ke Malaysia sekitar 2018 di sebuah resort yang ketika itu menjadi gelanggang pertama. Saya sendiri antara jurulatih terawal di negara ini,” katanya.

Dia yang juga bekas jurulatih tenis berkata, walaupun kadar perkembangan padel di Malaysia tidak sepantas pickleball, sukan itu mempunyai asas komuniti lebih kukuh dan berpotensi untuk kekal relevan dalam jangka panjang.

“Di peringkat global, padel berkembang secara lebih ‘natural’, malah ia dalam senarai sukan yang bakal dipertandingkan di Olimpik akan datang. Jadi potensinya memang besar.

“Saya harap lebih ramai bakat baharu dari peringkat awal dicungkil serta pembangunan sukan ini perlu adil dan terbuka untuk semua.

“Kalau ada yang ambil kesempatan untuk kepentingan sendiri, ia akan hanya merosakkan perkembangan padel di negara ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top